Amboi, banyaknya anai-anai ! memakan pohon-pohon mati, telah bertahun mereka memakan pepohon itu tanpa kenal erti jemu, kuat gigi mereka sekuat semangat mereka, pohon yang besar itu runtuh juga akhirnya dengan semangat kerjasama.
Eh ke mana semut itu membawa gula ? kecil tak padan dengan barang yang dibawa, cekalnya hati menanggung beban tanpa perlu mengeluh sesalan. Rajin pula rakan-rakannya yang lain membantu membawa beban bersama. Gula dibawa ke sarang untuk dikongsi bersama rakan, raja dan permaisuri dan rakyat jelata.
Subhanallah! Luasnya alam Tuhan, rumput menghijau di kiri –kanan, rimbunannya menggamit unggas singgah walau sebentar cuma. Mereka memuji Tuhan, mendoakan anak-anak yang tertawa riang pergi dan balik dari sekolah, tapi menangis melihat manusia yang melakukan maksiat tidak kira siang dan malam.
Pandai si lelabah menyulam sarang, sabar pula menanti mangsanya. Tapi kasihan bila angin menderu, rosak pula sarang sekemas itu. Alhamdulillah, sifatnya tak putus asa untuk menyulam lagi tambahan pula saudaranya dahulu pernah menolong Nabi dari manusia durjana.
Sedapnya suara burung terkukur! Dicari orang merata-rata. Hmm tentu mahal harganya, dan dibuat sangkar yang indah. Kasihan kau burung, hanya kerana suara tapi hidupmu terseksa. Dibeli orang hanya kerana merdumu. Kalau engkau sakit, mati, bagaimana keadaannya pula..?
Derasnya air mengalir! Dari sungai hingga lautan, sentiasa sahaja menempuh halangan, sebab ia akan terus ke depan, tidak pula mengundur ke belakang. Habis batu yang besar disambarnya, walaupun asal mulanya ia lembut, batu besar yang kasar pun boleh menjadi lekuk kalau air sentiasa menitis di atasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan