Ahad, 13 April 2008

Nombor Plat Lebih Penting Dari Nasib Umat Islam?

Hari ini di dalam akhbar Mingguan Malaysia ruangan Rencana muka surat 20, menyebutkan tentang kegilaan ahli korporat termasuk jutawan Islam membeli nombor plat kereta sehinggakan mencecah jutaan ringgit.

Di dalam rencana itu antaranya menyebutkan jutawan muda Arab, Saeed Al Khouri, 25, muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan termahal di dunia setelah membeli nombor plat 1 dengan harga kira-kira RM45.8 juta pada satu lelongan awam di Abu Dhabi, Dubai.

Secara perbandingannya, bayaran untuk sekeping plat nombor 1 yang akan digunakan di bumper kereta kepunyaan Saeed itu mampu digunakan untuk membeli lebih 400 buah model Perdana V6 Enhanced 3 keluaran Proton Holdings Berhad.

Sebelum itu, sepupu Saeed, Talal Ali Mohammad Khouri membayar lebih RM22 juta untuk memiliki nombor plat 5 yang menyamai harga untuk 200 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria keluaran Kumpulan Naza.

ALlahu..ALlah, lihatlah pembaziran yang tidak bermanfaat, betapa borosnya jutawan-jutawan Islam ini. Alangkah baiknya jika duit yang dilaburkan hanya untuk membeli kepingan besi itu digunakan untuk kepentingan umat Islam seluruh dunia. Tentu banyak perut-perut yang akan terisi, tentulah ramai pelajar yang miskin akan dapat bersekolah, tentulah ramai balu-balu palestin serta pejuang Islam mendapat manfaat.

Alangkah bagusnya jika wang tersebut dalam digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan sains, pendidikan, sosial yang dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam. Sedarlah, umat Islam kini hanya berperanan sebagai pengguna dan bukan pengeluar. Apabila terdapat krisis makanan dan sebagainya, kita terlalu bergantung harap kepada negara dan pengeluar bukan Islam.

ALlah telah berfirman di dalam surah Al Isra' ayat 26 dan 27 yang bererti :

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا (٢٦) إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا (٢٧)

Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (26) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (27)


Bagaimana pula kisahnya dengan pergerakan missionari kristian di Asia, yang berlaku juga di kawasan pedalaman orang asli di Malaysia, di Sabah, Indonesia, Iraq, Palestin dan sebagainya?. Adakah mereka yang berbangga dengan nombor-nombor itu memerhatikan nasib umat ini?

Anda boleh melawati laman ini untuk mengetahui apa yang berlaku di dunia Islam kini : http://satuumat.blogspot.com/

Realitinya, kita merasa senang menghamburkan duit di jalan yang dapat memuaskan keinginan melebihi keperluan. Yang sanggup pergi menunaikan haji dan umrah berkali-kali setiap tahun, mengundi AF, membuat majlis perkahwinan gilang gemilang.... Di manakah sebenarnya keutamaan?

Sungguh kami merindukan akan adanya sahabat rasuluLlah seperti Abdul Rahman bin Auf, Saidina Abu Bakar as Siddiq, ahli perniagaan seperti Imam Abu Hanifah yang tidak meletakkan keduniaan di dalam hatinya sebagai keutamaan melebihi akhirat. Kekayaan dunia hanya di hujung-hujung jari mereka dan bukan di dalam genggaman.

Wahai umat Islam - marilah kita memikirkan soal kualiti dari kuantiti.

Tiada ulasan: