Selasa, 17 Jun 2008

Diri - Inilah hakikat dirimu II

Diri - semoga engkau tidak lupa akan dosa yang telah dilakukan untuk bermuhasabah diri. Carilah jalan untuk meningkatkan kualiti hidupmu. Bagaimana hubunganmu dengan ALlah, sesama manusia dan makhluk yang lain ?

"Dan sesungguhnya Kami perintahkan kepada Adam dahulu. Maka dia lupa perintah itu, dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (Surah Ta Haa)

Kezaliman apa lagi yang akan engkau lakukan wahai diri? Berat sudah amanah yang dipikul di pundakmu diperintahkan untuk menyampaikan kebenaran, untuk menyebarkan perkara kebaikan. Mungkin.. mungkinlah kerana itu makhluk yang lain tidak mahu menerimanya...

"Sesungguhnya Kami mengemukakan amanat yakni tugas dan tanggungjawab keagamaan, kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat tersebut oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu adalah amat zalim dan amat bodoh"
(Surah al Ahzab ayat 72)

Mengapa engkau sombong dan bongkak berjalan di muka bumi ALlah? Sedangkan engkau tahu, setiap langkahmu itu diperhitungkan nanti di akhirat. Ingatlah wahai diri, engkau sebenarnya tidak mempunyai apa-apa di alam ini. Jika engkau sudah tahu tujuan dijadikan hanya untuk menyembah Dia, sedarlah bahawa dirimu sebenarnya adalah hamba yang hina.

"Dan demi sesungguhnya jika Kami kurniakan kepada manusia kesenangan sesudah kesusahan menimpanya, nescaya dia berkata. 'Telah hilang kesengsaraan itu daripada diriku.' Sesungguhnya dia sangat gembira lagi sombong."
(Surah Hud ayat 10)




Tiada ulasan: