Jalan menuju ke Pasar Khamis lenggang tidak seperti kebiasaannya yang penuh berderet dengan kereta. Tidak ramai umat manusia yang mengunjungi pasar tersebut untuk membeli kain dan pakaian yang selalunya sesak dan berhimpit-himpit.
Ya, mungkin semalam setelah mendengar berita minyak naik rm2.70, menjadikan rakyat marhaen 'hilang selera' sebentar untuk membeli belah. Kenaikan sebanyak rm0.78 sen amatlah banyak buat kami sebenarnya - samada yang berpendapatan sederhana, apatah lagi yang berpendapatan rendah. Lalu ketika singgah di sebuah khemah yang menjual pakaian aku bertanya dengan seorang peniaga Cina yang meniaga - "Bos, minyak sudah naik, You jual pakaian pun naikkan harga jugakah? ". "Tak bolehlah, harga takkan boleh naik lagi, kalau naikkan rm0.10 pun orang sudah bising, ini mau naik juga susahlah. Kena tunggu 2-3 bulan untuk stabil" Dia menjawab dan aku merasai apa yang ia gusarkan.
Dahulu mereka membandingkan dengan harga-harga negara bukan pengeluar minyak, dan kinipun dengan alasan yang masih sama masih juga membezakan harga dengan negara tersebut!. Peliknya - kenapa dahulu semasa hendak dibuat projek mega tidak pernah hendak memikir tentang masa hadapan yang belum menentu. Bukankah kita perlu ada perancangan yang rapi dan berstrategi supaya rakyat yang menanggung tidak merasa bebanan yang tinggi? .
Dahulu semasa tahun-tahun 2006, 2007 minyak dinaikkan rm0.10 sehingga rm0.30 pun rakyat gelisah. Manakan tidak, barang keperluan perlu dibeli setiap hari, keperluan anak-anak untuk bersekolah, pekerja-pekerja yang berstatus 'makan gaji', 'gaji hari' perlu juga untuk diperhatikan makan pakai sehari-hari.
Minyak naik lagi.. syarikat yang mengeluarkan minyak pula boleh memberi bonus berbulan-bulan kepada pekerjanya. Pakcik makcik yang kerjanya menyapu sampah, menjala ikan di lautan, menjual kerepek, yang baru bertatih menjual burger di tepi jalan tentu terpinga-pinga lagi memikir tentang kos hidup di zaman ini.
Ya... tentu ada yang mengatakan 'duduklah dahulu di kerusi pemerintah sebelum bercakap'. Maka diri ini juga berfikir - jika tidak mampu duduk di kerusi itu, berilah kepada orang Islam beriman lain yang mampu. Cerita tanggungjawab bukan habis sahaja di alam kubur, bahkan berlanjutan sehingga semasa kebaikan dan kejahatan ditimbang dan ditunjukkan.
Jika di akhbar perdana disebut tentang perbandingan minyak dengan negara jiran, cuba lihat pula perbandingan negara kita (pengeluar minyak) dengan negara venezuella dianalisis oleh rakyat marhaen yang sedang terbeban juga -
http://whitenaval.wordpress.com/2008/06/05/senarai-harga-minyak-di-negara-pengeluar-minyak/
Perkara yang selalu berada di dalam fikiran - mengapa perkhidmatan pengangkutan awam tidak diambil alih sahaja oleh pihak pemerintah di seluruh negara agar rakyat yang kurang mampu dapat menggunakan dengan sebaiknya sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Singapura? Begitulah juga dengan projek yang berisiko tinggi perlulah diperhatikan kembali bagi memastikan adakah ia perlu diteruskan atau dimansuhkan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu di kala ini? .
Dalam waktu yang amat menggelisahkan jiwa ini, mungkin juga panas baran yang amat sangat dengan keletah mereka yang 'berakal pendek', semoga iman kita tidak hilang, banyakkan istighfar kepada ALlah ketika datang ammarah. KepadaNya kita berserah dan mengadu segala masalah (setelah tiada lagi daya dan upaya).
Mungkin juga ALlah inginkan kita 'berlapar' keranaNya untuk mengawal keinginan yang melebihi keperluan. Di samping itu, jangan lupa untuk berusaha untuk melakukan perubahan pada cara kita berfikir, cara kita bertindak, mungkin juga tajdid iman kita ke arah yang lebih baik.
Ya Muqollibal qulub, thabbit qolbina 'ala diiniK
"Wahai Yang Membolak balikkan hati, tetapkan hati kami di dalam agamaMu!.. Amiinnn"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan