Isnin, 23 Jun 2008

Selamat Datang Ke Menara Gading



AlhamduliLLah, ramai rakan saya (termasuk adik sendiri) akan melangkah ke menara gading untuk meneruskan pengajian.

Menara gading adalah gedung ilmu yang di dalamnya tempat untuk menimba pengetahuan sebanyak mungkin secara formal ataupun tidak formal. Di sinilah tempat pertemuan mereka yang ingin memajukan diri, mengeluarkan diri dari daerah kejahilan, kemiskinan dan sebagainya. Begitulah, setiap orang yang menghadirinya mempunyai niat dan matlamat masing-masing.

Pesan abang kepada adik :

Carilah ilmu dengan tujuan kerana ALLah. Moga keluarnya engkau di gedung ilmu nanti dapat memberi manfaat pula kepada manusia yang memerlukan. Maklumlah, di sana engkau akan dapat merasai jua apa yang dikatakan ujian dengan sekeliling, kejutan budaya dan pelbagai lagi mehnah dengan pelajaran, kawan, pensyarah dan sebagainya. Kudoakan ilmu menjadikan engkau semakin berakhlaq dan merendah diri serta membentuk dirimu menjadi manusia yang berkualiti.

Carilah kawan yang dapat memberikan manfaat kepadamu, kawan yang baik akan bersama-sama di kala susah dan senang. Kawan yang baik adalah bercakap benar kepadamu, bukan hanya membenarkan apa sahaja yang engkau cakapkan (sekalipun salah). Kawan yang baik, ia berusaha memberikan contoh tauladan, dan petunjuk di sepanjang jalan.

Di pusat ilmu, jangan lupa untuk menyertai persatuan, pertubuhan yang boleh memberikan input kemahiran, cara berkomunikasi, pergaulan yang sihat di antara dirimu dan rakan-rakan yang lain. Ingatlah, hidup ini bukan untuk diri kita sahaja, atau untuk hari ini semata-mata. Fikirkan juga tentang masa hadapan seusai engkau melangkah keluar mendapatkan segulung ijazah dan akhirnya yang membawa kepada lapangan hidup yang lebih luas. Kita semua perlu menanam benih dan dibajai untuk dituai di akhirat sana pula..

Jika engkau teringin membuat perkara yang negatif dan merosakkan dirimu. Ingatlah berkali-kali bahawa kita ini sentiasa diperhatikan ALlah, dicatit segala amalan. Ingat pulalah ibu dan ayah di kampung halaman. Engkau berdiri di gedung ilmu itu kerana penat lelah yang bernama ibu dan ayah, guru-guru serta mereka yang pernah berjasa kepadamu. Janganlah sampai engkau menghampakan harapan mereka kerana perbuatan yang membinasakan dirimu itu.

Di gedung ilmu, berhati-hatilah pula dengan fahaman yang membuat engkau tersasar. Sudah aku sebutkan di sini banyak fahaman yang akan cuba meracuni fikiran. Janganlah hendaknya engkau keluar sahaja nanti menyebabkan dirimu bersikap kasar. Berani membuat hukum itu dan ini tanpa mempunyai kelayakan. Lalu jadilah engkau seorang yang jahil di dalam disiplin ilmu. Mempunyai ilmu tetapi tidak berakhlaq.

Ingatlah wahai adikku, apabila engkau berada di dalam medan ilmu. Jangan lupa pula apa yang berlaku di sekelilingmu. Berada di gedung ilmu, bukan untuk menjadi 'ulat buku' yang jumud dan beku. Ya!, engkau inginkan pencapaian yang hebat dan cemerlang. Tetapi biarlah berpadanan hubunganmu dengan ALlah dan makhlukNya yang lain.

Dan akhirnya.. Tahniah kuucapkan, selamat berjuang di medan ilmu. Semoga ALlah selalu tetapkan iman buatmu dan akhirnya semoga lahir pemuda pemudi yang menggendong ilmu-ilmu Allah untuk menolong agamaNya.. Aminnn

1 ulasan:

AbcdeFtyyhahh; berkata...

salam, ana pon bakal ke U, hehe thx bg semangat, syukran!