Jumaat, 29 Februari 2008

Jadilah Pengundi Yang Bijak!

Dah hampir dekat dengan pilihanraya pada 8hb Mac ini.. Makin banyak pula poster yang ditebarkan di kiri kanan jalan. Makin banyak pula risalah yang ditampal, diberi, dibaca, dikoyak, dicemuh (bergantung kepada orang yang menilainya dari parti mana).

Manifesto sudah berkumandang untuk menarik minat pengundi, di media massa sudah dipamerkan (tapi biasanya hanya satu tu jelah). Kerana inginnya manusia berubah - pilihanraya sudah menjadi kewajipan untuk sama-sama memilih (samada memangkah atau gunakan cap jari?).

Perancangan masa depan untuk memilih pentadbir samada baru atau yang sudah sedia ada menyebabkan alam Malaysia ini riuh seketika. Dan saya tidak kurang juga mengingatkan kepada diri sendiri dan orang lain... Jadilah Pengundi Yang Bijak!

Jika dahulu anda rasa dizalimi
Pernah rasa ditipu (orang Mukmin tidak akan jatuh dua kali di dalam lubang yang sama)
Dahulu selalu terperangkap dengan janji kosong ?
Adakah pengurusan negara bertambah baik? (tanya diri sendiri) ?
Sudah memadaikah dengan apa yang ada sekarang (nilaikan dari semua segi - ekonomi, pendidikan, sosial, politik, pembangunan rohani dan material) ?
Apa kriteria sebenarnya yang anda inginkan dari pemimpin ? Adakah namanya? Pangkatnya? Universiti mana pernah ia ikuti? Atau akhlaq? Patriotismenya? (timbangkan dengan neraca al Quran, Sunnah dan ijmak)

Ingatlah - pemimpin yang anda undi nanti, akan memegang tampuk pemerintahan selama 5 tahun lagi (hendak menunggu pembubaran parlimen jenuh juga).

Jari jemari akan menjadi saksi lagi (samada anda mahu mengundi, atau tidak mahu - pilihan mana yang akan dipilih) semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat di depan Hakim Yang Maha Adil.

Firman ALlah dalam surah al Isra' yang bererti : "sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (36)

Dan ALlah juga telah berfirman di dalam surah al Zalzalah yang bererti : Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(8)

Khamis, 28 Februari 2008

Al Ahnaf Bin Qais Pemimpin Bani Tamim

Al Ahnaf bin Qais telah mencapai darjat kemuliaan dan kepimpinan yang menyebabkan beliau tidak lagi memandang kepada kuasa dan tidak bimbang jika dipecat - Ziyad
Ketika Damsyik sedang menikmati musim bunga yang sedang mekar bunga-bunganya di taman-taman yang menyegar dan mengharumkan, istana Amirul Mukminin, Muawiyah bin Abu Sufyan turut bersiap sedia untuk menerima para tetamunya.

Sebaik sahaja tetamu pertama dipelawa masuk menghadap khalifah, adik perempuannya, Ummu Hakam bin Abu Sufyan bergegas mengambil tempat duduknya di sebalik tabir. Ummu Al Hakam mahu mendengar hadith-hadith RasuluLLah s.a.w yang diperdengarkan di dalam majlis khalifah ini. Selain daripada ingin mengambil kesempatan untuk mendengar kisah-kisah menarik, syair-syair yang indah dan bimbingan nasihat yang akan disampaikan dalam majlis ini.

Ummu al Hakam adalah seorang wanita pintar, bersemangat tinggi dan sentiasa mencari sesuatu yang baik. Ummu al Hakam mengetahui, abangnya akan mengizinkan rakyatnya menghadap berdasarkan darjat mereka. Muawiyah akan menjemput terlebih dahulu sahabat RasuluLLah s.a.w kemudian diikuti oleh tabiin yang ternama, para ulama dan mereka yang berkedudukan.

..........................................................................................................................................................................

Cuma kali ini, Ummu al Hakam mendapati abangnya menerima tetamu pertama yang tidak disenanginya. Ummu al Hakam mendengar Muawiyah berkata :
"Wahai Ahnaf, setiap kali saya teringat Perang Siffin saya akan teringatkan engkau dan pendirianmu yang menyebelahi Ali bin Abi Talib. Ia menggores luka di hati ini hingga ke akhir hayat saya."
Dengan berani Ahnaf menjawab :
"Wahai Muawiyah, hati-hati yang memarahimu masih tersimpan dalam jiwa ini. Pedang yang kami gunakan untuk memerangi engkau masih lagi ada di tangan kami, Jika engkau bersedia untuk berdamai kami akan lebih bersedia untuk berdamai. Namun jika engkau bersedia untuk berperang kami akan lebih bersedia untuk berperang. Demi ALlah, kami datang ke sini bukan kerana mengharapkan hadiahmu atau kerana kami takut kepada ancamanmu. Kami datang untuk memperbaiki hubungan, buat mengukuhkan perpaduan dan suara umat Islam."
Sebaik sahaja habis berkata-kata, lelaki ini berpaling dan beredar. Apabila mendengar kata-kata itu, Ummu al Hakam terdorong untuk menyelak tabir di hadapannya. Dia ingin melihat siapakah yang memulangkan buah keras dan memberikan jawapan yang begitu keras kepada khalifah.

Ummu al Hakam lihat lelaki itu memiliki tubuh yang rendah dan kecil, kepalanya botak, gigi yang tidak teratur, dagu yang senget, mata yang kuyu dan kakinya tempang. Malah segala kecacatan yang ada pada manusia lain ada padanya.

Ummu al Hakam memandang abangnya sambil berkata :
"Wahai Amirul Mukminin, siapakah orang yang mengugut dan mengancam khalifah di tengah-tengah istana itu?"
"Orang ini jika dia marah, 100 ribu orang Bani Tamim lagi akan marah tanpa mengetahui sebab mereka marah. Dia ialah Ahnaf bin Qais pemimpin Bani Tamim. Orang Arab yang unggul, seorang pejuang dan penakluk,"
jawab Muawiyah sambil memandang Ahnaf pergi.

Marilah kita hayati hidup al Ahnaf bin Qais.

Selasa, 26 Februari 2008

Sahabat, bersabarlah dengan dugaan…

Sahabat, kenapa engkau menyendiri di sudut sana? Kulihat dahimu berkerut memikirkan nasib diri yang engkau hadapi. Terkadang air matamu seperti air sungai yang mengalir deras di pipimu, hatimu penuh dengan keluh kesah. Engkau memandang ujian yang dihadapi selama ini amat berat, benar-benar menghimpit dan menyesakkan dada. Engkau ingin bahagia seperti orang lain, ingin ketawa dan sentiasa tersenyum, bahkan terkadang iri hati melihat orang lain sentiasa sahaja bergembira.

Sesekali engkau menceritakan betapa malang untung nasibmu, ’selalu sahaja tersandung ketika berjalan’. Engkau menceritakan menjadi harapan pada dua hati ibu ayah yang ingin melihatkan kejayaan anaknya. Takut benar melihat mereka kecewa apatah lagi menitiskan air mata. Bagimu teguran mereka apatah lagi air mata merupakan satu dosa besar yang tidak dapat diampunkan buat dirimu. Engkau diajar untuk mengejar kesempurnaan dengan usaha, bagimu dengan berusaha pasti akan berjaya. Lalu engkau lupa bahawa natijah setiap sesuatu itu bukan ditangan manusia, tetapi Dia.

Sahabat, jiwamu terkadang memberontak. Engkau akan memarahi orang lain yang tidak mempunyai apa-apa dosa pada dirimu. Lalu menyalahkan keadaan dan benci dengan alam sekelilingmu, lalu bisikan-bisikan nafsu syaitan datang merayu, menghasut. Suka benar ia melihat manusia bersedih dengan kegagalan, suka benar ia melihat engkau berduka dan menyalahkan takdir. Jahat benar bisikan itu yang mengajak untuk memutuskan nyawamu dengan membunuh diri sebagai jalan mudah untuk penyelesai masalah.

Wahai sahabat, dengan hanya menangis, mengeluh, engkau tidak akan mendapat apa-apa. Hatimu akan dirundung pilu sepanjang masa, dan pada masa itu akal dan fizikalmu akan melemah. Bagaimana engkau akan membina masa depan semula jika fikiranmu selalu sahaja memikirkan tentang kelemahan dan kekurangan diri? Benar, memikirkan kekurangan diri itu perlu untuk membina keyakinan dan memperbaiki diri. Tetapi ia tidak akan dapat mengubah apa-apa hanya dengan air mata.

Sahabat, Tuhan telah memberitahu kita, bahawa setiap kesusahan itu diikuti dengan kemudahan. Setiap ujian dan kegagalan hidup itu ada jalan keluarnya bagi orang yang bertaqwa.

Lupakah engkau dengan qada’ dan qadar Tuhan? Sahabat, hidup ini adalah amanah yang bukan milikmu sahaja.Ada perkaitan dengan Tuhan, manusia dan makhluk Allah yang lain. Bukanlah satu kegagalan di dalam hidup jika engkau kesandung pada kali ini, malahan jika ia datang berkali-kali di dalam hidup.

Tidakkah engkau melihat bagaimana burung yang tidak berakal itu pada paginya tidak mempunyai apa-apa, sepulang sahaja pada petangnya ia membawa makanan. Dari mana ia mendapatkan rezeki itu jika tidak ia berusaha dan yakin untuk mencarinya? Bahawa beburung yang berterbangan itu tidak ada yang menahannya kecuali Allah.

Lihat sahaja wahai sahabat, semut yang menangung beban gula 2 kali ganda berat badannya tetap juga diusungnya dengan gigih dan sabar. Sesekali rezeki itu hilang entah kerana ada gangguan di jalanan, terlepas lagi makanan untuk rakyatnya. Tidak pula ia berundur dengan tangan kosong sahaja. Tetap juga ia bertasbih dan bertahmid kepada Allah tanda syukur. Pernahkah kita melihat semut ini membunuh dirinya sendiri hanya kerana ia gagal mendapatkan makanan? SubhanaLlah! Alangkah hebatnya Allah menjadikan binatang sekecil itu untuk dijadikan perbandingan kepada manusia.

Jangan pula engkau berani membuat hukuman buat dirimu sendiri padahal ia bukan hakmu untuk berbuat demikian. Sekali lagi kukatakan bahawa nyawa, jasad, rerambut, kuku malahan kulit ini bukanlah milik kita. Tidak mampu kita untuk memberi alasan apa di hadapan Tuhan di hari perhitungan nanti... belajarlah untuk menjadi seorang yang redha dan syukur di atas taqdirNya.

Sungguh Allah Maha Tahu mengapa Dia memberikan ujian kegagalan dan dugaan kepada kita. Terkadang dengan kejayaan boleh melalaikan kita untuk ingat kepadaNya, berapa ramai yang menjadi takbur dengan kejayaan, dengan kekayaan seperti fir’aun yang bongkak dan mengaku dirinya Tuhan!! Allah memerintah Iblis untuk sujud (hormat) kepada Adam, tetapi ia congkak dengan kehebatan kejadian dirinya dari api dan Adam itu dari tanah. Sekurang-kurangnya jika engkau hilang segalanya dalam hidup, tetapi masih ada cahaya di dalam hati iaitu iman kepada Allah. Dikala itu, di hadapan Tuhan nanti, masih ada jawapan yang kukuh untuk engkau berikan agar selamat dari seksaan neraka....

Allah membuat gedung bagi para pencintaNya, lotengnya adalah susah dan gundah sedangkan mudharat adalah tiangya, Allah masukkah mereka ke dalamnya dan mengunci pintunya. Dia katakan pada mereka : Sabar itu kunci pintunya.

Isnin, 25 Februari 2008

Rehlah Jiwa

Bagaimana caranya untuk menghilangkan rasa bosan ?

Pertamanya kenal pasti apakah yang menyebabkan anda rasa bosan, kadangkala rasa bosan hasil dari perbuatan anda sendiri contohnya melakukan perkara yg sama setiap hari, oleh itu ubah sedikit rutin kehidupan. Kemudian, cipta hobi yang baru yang jarang orang terokai atau yang anda sendiri sukai.

Banyakkan pergaulan dengan rakan-rakan dengan bercerita sesuatu yg baru atau topik hangat masa kini, contohnya cara untuk menyelesaikan masalah seorang pemimpin yang hanya pandai berkata tapi tidak pandai membuat kerja.

Elakkan dari mengelamun atau termenung tentang perkara yg telah lalu, kecuali dosa-dosa yang pernah anda lakukan, dengar lagu-lagu yang boleh menghiburkan jiwa, saya cadangkan lagu sentimental Yanni atau ciptaan pemuzik terkenal Beethoven. Apapun ubat penenang jiwa adalah solat sunat

Selain dari itu, banyakkan ilmu membaca supaya otak anda dapat berfikir dengan lebih cergas dan cerdas, menjawab kuiz atau permainan uji minda atau menyusun puzzle.

Perkara paling mudah, anda lihat alam, dan unggas-unggas berterbangan, rasai kegembiraan mereka (walaupun anda adalah manusia). Lihat bulan dan fikirkan tentang apa yg tersirat di sebalik cerah cahayanya dan kegunaan untuk manusia. Galakkan minda berfikir (tetapi berfikir mengikut batasannya)

Anda rasa ingin marah ?

Kaji dahulu apa yang menyebabkan anda rasa marah, kerana kadang-kadang anda marah kerana perkara yg kecil dan rasanya tidak rasional anda marah hanya kerana seekor semut makan biskut yang anda simpan selama sebulan, fikirkan akibat marah dan kesannya, biasanya orang yg marah mukanya herot dan masam, merah padam, rasanya apabila ditunjukkan cermin tentunya anda akan memakai bedak setebal 2 inci untuk menghilangkan kesan marah pada wajah anda.

Sekiranya anda ingin memarahi seseorang, fikirkan juga kesesuaian keadaan dan tempat. Marah kerana yg benar dengan tujuan untuk membetulkan dan sayang padanya, tetapi hendaklah berpada-pada. Sekiranya anda tidak dapat berbuat demikian, anda dianjurkan untuk cepat-cepat pergi menyibukkan diri atau melepaskan kemarahan dengan bermain bola, atau berenang atau marah pada dinding. Setiap orang tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan, maafkan sahaja sekiranya kesalahan itu adalah kecil dan tidak melibatkan maruah, keluarga, agama.

Perkara yang dianjurkan agama, apabila anda marah, ingat kemarahan datangya dari syaitan yang menghembuskan api kemarahan dalam hati, sekiranya anda sedang marah dalam keadaan diri, maka duduklah, jika duduk maka berdiri kemudian ambillah wudhu'. Banyakkan istighfar, ingatlah kemurkaan Tuhan adalah lebih besar, dan kemaafaan lebih disukai dari pertelingkahan dan kecil hati.

Selamat Mencuba!

Selasa, 19 Februari 2008

Kejahilan AntiHadith dan Jawapan Terhadapnya

Antara pengikut anti hadith yang lain dikenali sebagai Mahmud Abu Rayyah dan bukunya bertajuk Adwa’ ‘ala Sunnah al Muhammadiyyah dan telah dijawab oleh Syekh Mustafa As Siba’I di dalam bukunya yag terkenal iaitu al Sunnah wa Makanatuha fi al Tashri’ al Islam. Antara hujjah yg dikemukakan oleh anti hadith ini ialah :

Sunnah tidak direkod atau dibukukan ke dalam penulisan dimasa kehidupan RasuluLLah S.A.W. Dan sebenarnya ia adalah hasil daripada larangan rasuluLlah kepada para sahabat untuk menulis hadith. Ia mewujudkan ketidak sepakatan antara ulama’ mengenai status hadith dan menurut Abu Rayyah adalah punca utama kepada kemunculan banyak hadith maudu’. Akibatnya, ada kemungkinan terdapat banyak hadith yang sebenarnya dibuktikan sebgai hadith soheh tetap adalah produk dari hadith rekaan oleh perawi yang mempunyai kecenderungan ke arah itu. Berdasarkan fakta ini, tidak rasional bagi Muslim untuk menerima sunnah sebagai sumber Syari’ah dan pengetahuan[1].

Jawapan kepada ANTIHADITH

Kesilapan besar pada hujjah ini adalah cubaan untuk mengaitkan RasuluLLah sebagai punca menyebabkan berlakunya kemunculan hadith maudhu’ (hadith palsu). Ia menyalahkan baginda iaitu sekiranya baginda mengarahkan para sahabat untuk mendokumentasikan Sunnah, tentunya jenayah memalsukan hadith akan dapat dielakkan.

Hujjah seperti ini menurut al Sibai’ sungguh menjijikkan bagi seorang yang mengaku dirinya sebagai Muslim!. Bahkan Abu Rayyah telah memandang rendah bahkan memperlekehkan kepintaran dan sifat keintelektualan baginda yang terkenal dengan sifat fatanah (bijaksana) di dalam perkara yang berkaitan kehidupan seharian dan permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam. Seperti yang dipersetujui oleh jumhur ulamak bahawa fatanah adalah satu daripada sifat kenabian yang ada pada Nabi Muhammad yang sepatutnya setiap umat Islam tahu mengenainya[2].

Malangnya Antihadith ini (AbuRayyah dan pengikutnya yang sefikrah dengan dia) tidak tahu fakta ini sedangkan ia ingin dikenali sebagai Muslim yg moden dan membataskan dirinya dengan Sunnah sebagai sumber syari’ah dan pengetahuan. Pada masa yang sama, Abu Rayyah kelihatan lupa bahawa larangan kepada para sahabat untuk menulis Sunnah lebih kepada pengecualian atau mempunyai had tempoh masa dan bukannya suatu polisi yang kekal.

Larangan tersebut adalah disebabkan oleh beberapa perkara.

Yang pertamanya, peralatan atau material yang tidak mencukupi untuk tujuan pembukuan yang kebanyakannya didapati pada masa itu telah digunakan untuk menulis al Qurran yang secara berterusan disampaikan pada RasuluLlah S.A.W.

Antara sebab lain larangan tersebut adalah kerana ketidakbolehan untuk membezakan antara ayat Allah yang terkandung di dalam al Quran dan dari perkataan manusia yang berasal dari Nabi Muhammad S.A.W. larangan ini adalah hanya berlaku terutamanya pada peringkat awal penurunan wahyu al Quran di mana Muslim ketika itu telah diberi amaran agar tidak berada di dalam kekeliruan di antara perkataan Nabi Muhammad S.A.W dengan al Quran dan sebaliknya.

Dimana jika timbulnya kekeliruan para sahabat selalu bertanya dengan rasuluLlah samada ia adalah wahyu dari Allah atau dari ijtihadnya sendiri. Kemudiannya, selepas para sahabat semakin bijak dan biasa dengan perbezaan antara ayat Allah dan perkataan rasuluLlah, larangan tersebut secara perlahan-lahan telah dilonggarkan, terutamanya kepada para sahabat yang telah diiktiraf dan mendapat keizinan yang khusus dari rasuluLlah sendiri. Jadi hujjah antihadith ini dengan mengatakan bahawa ketiadaan dokumentasi pada zaman rasuluLLah tidak semuannya benar.

Terdapat bukti dari sahabat yang bernama Abdullah ibn Amru telah menulis apa yang telah dilihat disaksikan dan didengari dari rasuluLlah di dalam satu manuskrip yang dipanggil al Sahifah al Sadiqah. Dia telah melakukannya melalui usahanya dengan berurusan dengan RasuluLlah untuk mendapatkan keizinan, persetujuan dan pengesahan samada apa yang dicatitnya itu adalah benar atau tidak. Sekiranya ia tidak benar maka ia akan meminta rasuluLLah untuk membetulkannya[3].


[1] A Siba’I, al Sunnah wa Makanatuha p. 29
[2] Ibid, p. 29
[3] Bashier, Sunshine at Madinah p. 30

Siapa Sebenarnya Di Sebalik Golongan AntiHadith?

Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat secara langsung di dalam antihadith ini juga terdiri dari pemikir2 yahudi dan kristian untuk memesongkan akidah umat Islam di antara mereka yang berminat dengan hadith ini ialah :

A.J Wensinck, A. Sprenger, J. Horovitiz, T.W Juynboll, Edward, E. Salisbury, O.V Hondas, L. Krehl, W.M Watt, J. Schacht, J. Robson

Seorang yahudi yang bernama I Goldhizer yang cuba membuat perbandingan di antara pengajian hadith serta kesusateraannya dengan kesusasteraan yahudi dan kristian. Antara buku yang berkaitan dengan karyanya ialah Muhammedanische Studien. Dengan membawa keraguan antaranya:

  1. Hadith dan kesusasteraannya diragui pada abad pertama Hijrah. Hal tersebut kerana pada masa itu tidak ramai orang Islam yang pandai menulis dan membaca serta tidak didapati kitab hadith yang dikumpul dalam bentuk tulisan.
  1. Hadith merupakan suatu yang diada-adakan dan bukan suatu yang asli daripada idea Nabi Muhammad. Justeru hadith merupakan hasil perkembangan semasa juga merupakan idea-idea yang direka oleh umat Islam.
  1. Bahkan I Goldziher cuba memesongkan fahaman dan pegangan umat Islam tentang hadith mengatakan bahawa sebenarnya hadith itu tidak wujud, ia adalah rekaan dan ciptaan NAbi Muhammad berasaskan nafsunya sendiri

Jawapan kepada ANTIHADITH :

Semenjak zaman nabi dan para sahabat terdapat ramai sahabat yang pandai menulis dan hadith memang dicatat sejak zaman rasuluLlah antaranya dokumen rasmi dan al hadith secara rasmi. Cthnya At tabari ada mencatatkan bahawa rasuluLlah pernah mengirim surat kepada raja Najasyi yang memerintah Habsyah supaya memberi layanan yang baik kepada orang-orang Islam yang berhijrah ke negeri tersebut.

Perlembagaan Madinah atau sahifah madinah merupakan perlembagaan pertama yang ditulis dalam sejarah.

Terdapat ramai sahabat yang pandai dan mencatat hadith. Antara mereka ialah Abu Umamah, Abu Ayub al Ansari, Abu Bakar as Siddiq, Abu Sa’id al Khudri, Anas bin Abd Malik, al Barra’ Ibn ‘Azib. Jabir Ibn Samurah, Mu’az bin Jabal, Umar al Khattab, Mu’awiyyah bin Abu Sufyan dan Abdullah bin al Zubir.

Walaupun orientalis mendakwa meragui keaslian hadith disebabkan jarak masa dengan zaman nabi adalah jauh. Dakwaan itu juga tidak benar, kerana hadith dijaga dengan baik oleh para sahabat dan umat Islam. Di masa para sahabat telah wujud Sahifah atau lembaran yang mengandungi hadith Nabi antaranya Sahifah Sa’ad bin Ibn Ubadah al Ansari, Sahifah Samurah Ibn Jundab, Sahifah Jabir Ibn Abdullah, Sahifah Ibn Abbas dan Sahifah Abu Hurairah dan ia diakui oleh sesetengah orientalis seperti Sprenger dan menunjukkan dakwaan I Goldziher tidak berasas.

Orientalis mengatakan bahawa hadith adalah ciptaan Nabi Muhamaad sendiri berasaskan hawa nafsunya. Tanggapan ini adalah tidak munasabah kerana sejak kecil RasuluLlah terkenal dengan sifat al Amin dan baginda seorang yang Ummi. Firman Allah: Surah An Najm ayat 3-4 :

“ Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (samada al Quran atau hadith) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya”

Ahad, 17 Februari 2008

Abu Hanifah di saat-saat terakhir

Selama 40 tahun beliau bersembahyang Subuh dengan air wuduk yang diambil ketika sembahyang Isyak. Tidak pernah sekalipun beliau meninggalkannya.

Beliau telah menamatkan bacaann al Quran di tempat beliau menghembuskan nafas terakhirnya sebanyak tujuh ribu kali. Setiap kali membaca surah al Zalzalah, tubuhnya akan menggeletar dan hatinya gementar. Lantas beliau memegang janggutnya sambil berkata :

"Wahai Tuhan yang membalas setiap zarah kebaikan dengan kebaikan. Wahai Tuhan yang membalas setiap zarah keburukan dengan keburukan. Jauhkanlah hamba-Mu ini, al Nu'man daripada api neraka. Jauhkanlah dia daripada sesuatu yang boleh mendekatkannya dengan api neraka. Masukkanlah dia ke dalam rahmat-Mu yang luas, wahai Tuhan yang Maha Pengasih."

Jumaat, 15 Februari 2008

Bagaimana memotivasikan murid untuk rajin bersolat?

Bermula persekolahan tahun ini saya mengajar pelajar darjah 4 (berumur 10 tahun). Pertama sekali yang saya tanyakan kepada mereka, "siapa di sini solat cukup lima waktu". Kebetulan pula pada waktu itu subjek Ibadah yang menyentuh tentang kepentingan solat.

Seperti biasalah, yang mengangkat tangan dua, tiga orang dari kelas yang berjumlah 38 orang...

Memang begitulah, kadang-kadang cikgu di sekolah sudah bertungkus lumus mengajar anak muridnya tatacara solat, cukup dengan rukun qolbi, qauli dan fe'li. Bermula dari darjah satu lagi diperkenalkan perbuatan di dalam solat, niatnya, takbir, rukuk dan sujudnya sehinggalah memberi salam.

Bersabarlah Dalam Mengajar

Dalam mengajar anak murid kena banyak bersabar, jangan putus asa. Maklumlah untuk menjadikan mereka 'manusia' banyak yang perlu dibentuk. Dan antara perkara yang penting adalah hal ehwal solatnya, kerana persoalan pertama yang ditanya ALlah adalah tentang solat jua.

Pesan RasuluLLah yang bererti : "Yang mula-mula dicabut daripada manusia ialah amanah dan yang terakhir tinggal daripada agama mereka ialah solat. Ramai orang yang solat, tetapi tidak ada nilai di sisi ALLah.." (Riwayat al Hakim)

ALlahu.. Allah... Ada orang Islam tetapi tidak solat, ada yang sengaja, yang jahil, yang terlupa, ada juga yang tahu tetapi amalan solatnya dilemparkan ke muka...

Tiadalah cara lain melainkan saya perlu berbuat sesuatu untuk menimbulkan keinginan dan suka mereka untuk solat. Agar bila sudah dewasa nanti tidak perlu disuruh, diherdik, dimarahi baru bergerak hendak solat.

Kepada anak muridku, ALlah telah mengajar kita bahawa sesungguhnya solat dapat menghalang keburukan dan kemungkaran (surah al Ankabut : 45). Di setiap suara bilal yang memanggil kita untuk menghadapNya, bilal menyeru "Marilah tunaikan Solattt!, Marilah Menuju Kejayaan!".

Murid saya disuruh untuk mengambil satu buku 'kosong' dan buat jadual seperti di bawah :





Penerangan kod : S = Subuh, Z= Zohor, A= Asar, M=Maghrib, I=Isyak

Setiap hari dan masa solat mereka perlu mengisikan jadual ini, tarikh dan waktu solat. Jika solat sudah disempurnakan pada waktu tersebut maka ia hendaklah diisikan dengan = 1 manakala jika tidak dibuat walau dengan apa jua alasan maka ia ditulis= 0.

Dan '0' itu bermakna akan dimasukkan ke neraka Saqar. Ini menurut amaran ALlah dalam surah al Muddathir ayat 42-43 yang bererti : "Apakah yang menjerumuskan kamu ke dalam Neraka Saqar? Mereka berkata : kami tidak menunaikan solat".

Pada setiap hari Jumaat saya meminta mereka menunjukkan Jadual Solat tersebut. Dan sekiranya ada 'telur' = O, maka hukuman rotan akan diberikan sekali di telapak tangan. Di rumah, ibu dan ayah mereka mendidik, tetapi jika di sekolah, sayalah ibu dan ayah mereka.

Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud berkata RasuluLlah yang bererti ;“Perintahkanlah anak-anakmu mengerjakan solat di kala mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka karena mereka tidak mengerjakannya di kala mereka berumur tahun pisahkanlah tempat tidurnya”

Ya, positive punishment saya perlu berikan kepada mereka untuk mendidik, dan apabila mereka berjaya menyempurnakan solat pada hari tersebut dan berikutnya, saya ucapkan tahniah.

Rabu, 13 Februari 2008

Zaman yang bersalah atau akukah yang bersalah ?

Zaman ini selalu diuar-uarkan dengan ucapan kejarlah kemajuan, bukan kemunduran, bukalah mata dan minda. Apa sahaja yang menghalang kemajuan perlu dibanteras, fikirlah secara terbuka. Bukalah seluas-luasnya batas pergaulan untuk maju. Zaman ini adalah hak kesamarataan lelaki dan perempuan, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.Hidup maju disandarkan juga kepada perubahan cara berfikir, bertindak, material dan segala kemajuan teknologinya. Tetapi sayangnya, acuan kemajuan itu tetap juga ditiru dan diambil dari tempat pembuangan sampah hasil dari ideologi yang telah hancur peradabannya.

Lalu acuan ini disebarluaskan tanpa diperhati dan diselidiki apa buruk baiknya.

Seringkalilah ada sahaja butir bicara, luahan tentang kekejaman zaman. setiap zaman yang dilalui itu adalah yang terburuk, zaman ini sungguh kejam, tidak ada perikemanusiaan, ramai sudah manusia yang terkorban akibat zaman.

Zaman ini bertuankan emas, zaman ini memandang kepada wang, siapa yang miskin akan terkorban, siapa yang kaya akan bahagia. Entah tuan, berapa ramai pula orang kaya yang menjeruk hati, dan terseksa di dalam sangkar mahligainya. Hartanya penuh memenuhi bank, perabotnya diimpot dari luar negara.Kenderaan bersusun teratur bahkan terkadang hingga berhabuk sebab terpaksa mengikut giliran, untuk berkelah, ke tempat kerja, ke rumah saudara, ke majlis-majlis formal. Tetapi jiwanya kosong, menjadi korban karenah isteri dan anak-anak. Semakin bertambahla kerut di dahi kerana terlalu memikir nasib diri...

Zaman ini bukanlah pelik, apabila hidup menyepi diri dari hiruk pikuk kota membawa ketenangan. Mungkin setelah dicapai kepuasan di dalam hidup walaupun kaya, tempat kembalinya adalah pondok-pondok pengajian agama, ataupun rumah-rumah yang terpencil di desa. Alangkah seksanya jiwa bila tiada kebahagiaan...

Zaman ini banyak memakan korban, di sana sini ada sahaja yang mati, setiap hari ada sahaja yang putus nafas. Tidak kira yang segar bugar, yang sempurna anggotanya, yang tidak ada punca sakitnya. Manalah tahu, ketika berjumpa disambut dengan kafan, disapa dengan tangisan dan ucapan takziah dari rakan taulan. Hebatnya Allah... rupanya di dalam bergelumang kenikmatan hidup ia boleh hilang pada bila-bila masa.

ZAman ini penuh penderitaan, ada kisah derita iman yang menanggung beban saban waktu dosa mengguris kesucian yang telah lama dipelihara sebaik-baiknya. Keliru untuk menegur atau membiarkan, walau di dalam hati dan fikiran berperang dengan ajaran dosa pahala yang telah lama sebati di dalam diri. Layakkah mereka dibiarkan berterusan dengan kejahilan? atau dibiarkan terus untuk merasai kelazatan? dan akhirnya diri beralasan dengan selemah-lemah iman....

Zaman ini penuh kepalsuan, antara apa yang ditonjolkan dan yang disembunyikan. Antara yang dihiaskan cantik dengan hakikatnya yang hodoh, antara lakonan yang dilakonkan dengan realiti kehidupan.

Zaman ini... di manakah keberkatan... di setiap masa yang berlalu, setiap makanan yang disuap, ilmu yang dilahap... Zamankah yang bersalah.. atau akukah yang bersalah...

Sabtu, 9 Februari 2008

Aku Malu Untuk Menegur Perkara Mungkar..

Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain. Bahkan ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi 'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik? Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak menegur..

Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak kebaikan.

Persepsi Diri Yang Salah

Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah kepada mereka yang ber'authoriti'. Serahkan sahaja pada pak imam, ustaz atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu menjadi maksum. Malu dengan latar belakang keluarga yang tidak sempurna didikan agama.

Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu

Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk manusia dari dalam dan luaran.

Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia meladeni manusia, alamat kita sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan perhubungan sesama manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang ekonomi, politik, pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan orang lain kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja..

ALlah memberitahu di dalam al Quran yang bererti, hendaklah ada sebahagian dari golongan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran : 104) Golongan yang disebutkan menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Usul Ad Dakwah adalah orang Islam itu sendiri. Kita adalah umat yang terbaik yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya.

Menasihati bukan satu cara sahaja

Mereka yang rugi antaranya adalah yang tidak mahu berpesan-pesan kepada perkara kesabaran dan kebenaran. Tidak perlu dengan mengeluarkan hadith atau ayat al Quran yang kadangkala mad'u pun tidak tercapai akalnya hendak menerima (sebab ia sendiri jahil mengenainya).

Seorang Islam yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kretif dan mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui tulisan, lukisan atau dengan kekuatan tangan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan diri kita yang menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka, tersenyum, tidak mudah marah, suka menolong, lidahnya tidak celupar menuturkan kata.

Tentulah wahai tuan, ALlah tidak melihat kepada natijah tetapi kepada usaha. Sebab prinsip asas yang diterangkan di dalam al Quran adalah usaha untuk mencapainya. Yang empunya kejayaan, kemenangan dalam ketentuanNya, bukan kita. Menasihati sesama manusia menyuburkan benih persaudaraan melalui kasih sayang dan kemaafan.

Marilah tuan, tiada ruginya kita berbuat kebaikan..