Khamis, 28 Februari 2008

Al Ahnaf Bin Qais Pemimpin Bani Tamim

Al Ahnaf bin Qais telah mencapai darjat kemuliaan dan kepimpinan yang menyebabkan beliau tidak lagi memandang kepada kuasa dan tidak bimbang jika dipecat - Ziyad
Ketika Damsyik sedang menikmati musim bunga yang sedang mekar bunga-bunganya di taman-taman yang menyegar dan mengharumkan, istana Amirul Mukminin, Muawiyah bin Abu Sufyan turut bersiap sedia untuk menerima para tetamunya.

Sebaik sahaja tetamu pertama dipelawa masuk menghadap khalifah, adik perempuannya, Ummu Hakam bin Abu Sufyan bergegas mengambil tempat duduknya di sebalik tabir. Ummu Al Hakam mahu mendengar hadith-hadith RasuluLLah s.a.w yang diperdengarkan di dalam majlis khalifah ini. Selain daripada ingin mengambil kesempatan untuk mendengar kisah-kisah menarik, syair-syair yang indah dan bimbingan nasihat yang akan disampaikan dalam majlis ini.

Ummu al Hakam adalah seorang wanita pintar, bersemangat tinggi dan sentiasa mencari sesuatu yang baik. Ummu al Hakam mengetahui, abangnya akan mengizinkan rakyatnya menghadap berdasarkan darjat mereka. Muawiyah akan menjemput terlebih dahulu sahabat RasuluLLah s.a.w kemudian diikuti oleh tabiin yang ternama, para ulama dan mereka yang berkedudukan.

..........................................................................................................................................................................

Cuma kali ini, Ummu al Hakam mendapati abangnya menerima tetamu pertama yang tidak disenanginya. Ummu al Hakam mendengar Muawiyah berkata :
"Wahai Ahnaf, setiap kali saya teringat Perang Siffin saya akan teringatkan engkau dan pendirianmu yang menyebelahi Ali bin Abi Talib. Ia menggores luka di hati ini hingga ke akhir hayat saya."
Dengan berani Ahnaf menjawab :
"Wahai Muawiyah, hati-hati yang memarahimu masih tersimpan dalam jiwa ini. Pedang yang kami gunakan untuk memerangi engkau masih lagi ada di tangan kami, Jika engkau bersedia untuk berdamai kami akan lebih bersedia untuk berdamai. Namun jika engkau bersedia untuk berperang kami akan lebih bersedia untuk berperang. Demi ALlah, kami datang ke sini bukan kerana mengharapkan hadiahmu atau kerana kami takut kepada ancamanmu. Kami datang untuk memperbaiki hubungan, buat mengukuhkan perpaduan dan suara umat Islam."
Sebaik sahaja habis berkata-kata, lelaki ini berpaling dan beredar. Apabila mendengar kata-kata itu, Ummu al Hakam terdorong untuk menyelak tabir di hadapannya. Dia ingin melihat siapakah yang memulangkan buah keras dan memberikan jawapan yang begitu keras kepada khalifah.

Ummu al Hakam lihat lelaki itu memiliki tubuh yang rendah dan kecil, kepalanya botak, gigi yang tidak teratur, dagu yang senget, mata yang kuyu dan kakinya tempang. Malah segala kecacatan yang ada pada manusia lain ada padanya.

Ummu al Hakam memandang abangnya sambil berkata :
"Wahai Amirul Mukminin, siapakah orang yang mengugut dan mengancam khalifah di tengah-tengah istana itu?"
"Orang ini jika dia marah, 100 ribu orang Bani Tamim lagi akan marah tanpa mengetahui sebab mereka marah. Dia ialah Ahnaf bin Qais pemimpin Bani Tamim. Orang Arab yang unggul, seorang pejuang dan penakluk,"
jawab Muawiyah sambil memandang Ahnaf pergi.

Marilah kita hayati hidup al Ahnaf bin Qais.

Tiada ulasan: