Sukar untuk menerima kegagalan?
Biasanya kerana sudah ada di minda kita satu stigma - HIDUP INI PERLU BERJAYA SAHAJA TANPA GAGAL, ataupun TAKUT MENERIMA KEGAGALAN.
Antara faktor lain - terlalu yakin dengan diri sendiri dan lupa bahawa kita ini adalah hamba yang disuruh berusaha - manakala natijah terakhir adalah di bawah kekuasaan ALlah.
Kegagalan Adalah Fitrah
Kenangi semula awal penghidupan sebagai manusia. Budak kecil yang bermula dari tidak tahu apa-apa, tidak pandai berjalan, berlari. Langkah pertamanya adalah dengan bertatih merangkak, semasa ia kenal untuk berjalan ia mencuba bangun perlahan-lahan dan kadang-kadang terduduk sehinggalah ia tidak berputus asa untuk mencuba berkali-kali sehingga boleh berjalan betul dan berlari.
Kita kembali sedikit kepada sirah, RasuluLlah berdakwah selama 23 tahun untuk menyampaikan ajaran Islam. Tetapi baginda tidak pernah mengaku kalah. Padahal di peringkat permulaan dakwah baginda hanya terdapat ramai orang-orang miskin dan hamba abdi yang lemah. Tetap juga RasuluLLah meneruskan tugasnya dengan penuh amanah walaupun tahu di hadapannya banyak sekali kesusahan yang bakal diterimanya. Kerana ia tahu ALlah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.
Di dalam peperangan sememangnya akan berlaku menang dan kalah. Tetapi kita lihat kepada semangat jihad para pejuang Islam yang ikhlas mereka mengatakan - Samada syahid atau menang. Kekalahan adalah sebagai satu motivasi untuk membangkitkan semangat. Dan hasilnya - Islam itu gemilang sehingga menguasai 2/3 dunia.
Mungkin kita boleh mengambil semangat tokoh bukan Islam seperti Thomas Alva Edison mencuba sehingga 10,000 kali sebelum berjaya menghidupkan lampu dan dia berbangga kerana di dalam percubaan (dibaca kegagalan), beliau berkata : "Aku bukan gagal, tetapi aku telah menjumpai 10,000 sebab yang menjadikan ia tidak menyala!"
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّہَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (١٠٥)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (105)
Melihat Kegagalan Dari Sudut Positif
Gagal di dalam peperiksaan, gagal di dalam pekerjaan, gagal dalam cinta, gagal dan sebagainya. Ia adalah ujian untuk menunjukkan adakah kita gagal dalam IMAN KEPADA ALLAH?.
Sekali gagal, atau berkali-kali gagal bukanlah menunjukkan kita telah gagal selama-lamanya. Kerana kejayaan itu diukur dengan usaha kita bangun dari kegagalan. Orang yang gagal adalah orang yang tidak mahu berusaha, yang tidak mampu bangkit dari kekalahan.
ALlahu ALlah... lihatlah kegagalan itu dari sudut positif. Dengan hanya bersedih, mengerutkan muka, menyesali apa yang telah berlaku tanpa mengubah diri. Anda tidak akan ke mana-mana. Ambillah hikmah dari kegagalan .Pandanglah ke hadapan, kita perlu meneruskan hidup yang bukan hanya untuk dunia sahaja bahkan di akhirat nanti.
Kata Hamka : "Jangan takut jatuh, kerana yang tidak memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagallah yang tidak pernah cuba melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua".
Motivasi Dari ALLah :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٢٠٠)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya”. (Ali Imran: 200)
Bangkitlah wahai jiwa, Orang Islam Yang Beriman pasti berjaya, jiwanya sentiasa hidup dengan pengharapan dan usaha. Hayya 'alal falah!
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
-
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ? Soalan:Ketika sedang
sujud adakah kedua kaki direnggangkan atau dirapatkan. Mana satu cara yang
betul?Ja...
9 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan