Isnin, 19 Mei 2008

Mereka Memilih Islam II


Ikuti Kisah-kisah pengislaman Dr. Gary Miller (Pakar Matematik Kanada), Aminah asSilmi (Bekas Kristian dan Aktivis Pembebasan Wanita), Idris Tawfiq(Bekas Paderi), Estanislao Soria (Bekas Paderi), Michael Wolfe (Dari Keluarga Kristian-Yahudi Amerika), Rosalyn Rushbrook (Berijazah Dalam Teologi Kristian London).... Saya percaya masih ramai yang belum membaca atau mengetahuinya.

Dr. Gary Miller (Tokoh Ilmu Teologi Kristian Dari Kanada, Pakar Matematik)

Dr. Gary Miller (Abdul Ahad Omar)berasal daripada Kanada. Beliau merupakan seorang pakar matematik yang mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian. Pada tahun 1978 beliau dihadiahkan al-Quran dan selepas membacanya beliau mula menyedari tentang kepincangan Bible dan kebenaran al-Quran. Beliau terus memeluk agama Islam dan merupakan seorang pendakwah Muslim yang komited hinggalah ke hari ini. Antara tulisan beliau yg menarik ialah yang bertajuk "The Amazing Quran" (Quran Yang Mengagumkan). Dalam tulisan ini beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.

Antara tulisannya ialah, "Seperkara yang mengejutkan golongan yang bukan Islam selepas mereka mengkaji al-Quran ialah, ia tidak seperti apa yang mereka jangkakan. Bagi mereka, al-Quran ialah sebuah kitab tua yang datang dari padang pasir Arab dan berumur lebih kurang 14 abad. Justeru mereka menjangkakan, isi-isinya pasti juga tua lagi kuno seperti umurnya. Sebahagian daripada mereka pula menjangkakan, oleh kerana ia datang dari padang pasir, ia pasti banyak bercerita tentang padang pasir. Tiba-tiba mereka menyedari bahawa ia tidak seperti itu....

Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya. Malah al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains. Konsep sains pada hari ini ialah satu konsep yang memerlukan bukti. Jika seseorang mengutarakan sesuatu teori, pakar-pakar sains tidak akan mempedulikannya melainkan jika ia disertakan dengan bukti dan sanggup melalui beberapa ujian yang saintifik. Al-Quran sebenarnya sanggup diperlakukan seperti itu untuk membuktikan bahawa ia adalah benar. Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar".

(Rujukan: http://www.islamicity.com/science/theamazingquran.shtml

Aminah asSilmi (Bekas Kristian Protestan Amerika, Aktivis Pembebasan Wanita Radikal)

Aminah as-Silmi ialah seorang bekas Kristian Protestan dari kumpulan Gereja Southern Baptist. Beliau juga merupakan seorang aktivis dari kumpulan pembebasan wanita yang radikal dan pernah bertugas sebagai seorang wartawan penyiaran. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dan mendapat pelbagai anugerah kecemerlangan ketika berada di sekolah. Ketika di kolej beliau terpaksa belajar dengan wanita-wanita Arab yang rata-ratanya memakai tudung. Beliau menganggap mereka sebagai "golongan yang menjijikkan.Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berdakwah kpd mereka agar mereka menganut agama Kristian.

Untuk tujuan itu beliau telah mengkaji Islam dengan mengkaji al-Quran, Sahih Muslim dan 15 buku yang lain. Kajian terhadap Islam ini berterusan selama 2 tahun dan akhirnya persepsinya terhadap Islam telah berubah. Ketika itu barulah beliau menyedari betapa Islam merupakan agama yang amat memuliakan wanita. Pada tanggal 21 Mei 1977, beliau mengucap dua kalimah syahadah. Selepas memeluk Islam beliau berpakaian menutup aurat dan tindakan itu menyebabkan beliau kehilangan kerjayanya sebagai seorang wartawan penyiaran di Denver. Malah mahkamah memutuskan beliau dipisahkan daripada anak-anaknya disebabkan keislamannya. Akhirnya, dengan izin Allah, anak-anaknya, ibu bapanya dan bekas suaminya memeluk Islam...
(Rujukan: http://www.texnews.com/religion97/muslim110197.html


Idris Tawfiq (Bekas Paderi Roman Katolik UK)

Idris Tawfiq ialah seorang bekas paderi Katolik (Roman Catholic). Beliau memperoleh ijazah dalam bahasa Inggeris dan Sastera daripada Universiti Manchester, dan dalam bidang Teologi (Sacred Theology) atau Ilmu Ketuhanan daripada Pontifical University of Saint Thomas Aquinas di Rom. Sebelum memeluk Islam beliau berpandangan Islam ialah satu agama kolot yang merendahkan martabat wanita, mementingkan keganasan dan mengajak umatnya agar mengebom diri untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Ketika beliau bercuti di Mesir selama seminggu beliau mula menyedari bahawa umat Islam secara umumnya tidak seperti yang dipaparkan dalam media massa di Barat.

Apakah perbezaan yang besar antara agama Kristian Katolik dan Islam? Beliau menjawab, "Asas bagi agama Islam ialah Allah. Kesemua perkara adalah berpaksikan Allah... Ia tidak menjadikan, sebagai contoh, Nabi Isa sebagai paksi. Seperkara yang lain ialah, Islam merupakan satu agama yang komprehensif. Ia bukan satu agama yang menekankan ibadah pada hari-hari tertentu (contohnya hari Ahad) sahaja. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya tentang cara untuk menyapa orang lain, adab-adab makan minum, adab-adab memasuki bilik, malah tentang setiap perkara." (Rujukan: http://www.idristawfiq.com/

Estanislao Soria (Bekas Paderi Roman Katolik Filipina)

Estanislao Soria ialah seorang paderi Kristian dari mazhab Katolik (Roman Catholic) yang berasal dari Filipina. Beliau mendapat pendidikan dan memperoleh ijazah dari Xavier University dan Loyola School of Theology, Ateneo de Manila University. Ketika pemimpin Islam Moro, Nur Misuari, bercadang untuk menjadikan Mindanao sebuah negara Islam terpisah daripada Filipina, Estanislao Soria menentang cadangan itu. Beliau (yang lebih dikenali di Filipina sebagai 'Father Stan') berazam membuktikan penentangan beliau itu secara ilmiah. Justeru beliau telah membuat kajian yang mendalam dalam bidang sosiologi dan sejarah Filipina untuk membuktikan bahawa cadangan Nur Misuari adalah tidak berasas sama sekali. Di samping itu beliau berasa perlu untuk berdakwah kepada orang-orang Islam bertujuan untuk membawa mereka kepada Kristian. Untuk mencapai tujuan ini buku-buku tentang Islam telah beliau baca dan kaji.

Akhirnya sesuatu yang mengejutkan telah berlaku, iaitu, selepas beliau mengkaji Islam beliau menyedari bahawa Islamlah agama yang sebenarnya dan seterusnya memeluk agama Islam pada tahun 2001. Beliau mendapati banyak pandangan yang diutarakan oleh tokoh-tokoh Kristian seperti Thomas Aquinas adalah berasaskan ajaran Islam. Beliau berkata, "Kajian saya menyedarkan saya bahawa tamadun Barat sebenarnya berkembang kesan daripada ajaran Islam... Saya juga menyedari bahawa Gospel mengikut Barnabas adalah lebih sahih (credible) jika dibandingkan dengan keempat-empat Gospel yang terdapat dalam Bible sekarang (iaitu Gospel mengikut Mark, Matthew, Luke dan John).(Gospel mengikut Barnabas menceritakan dengan jelas tentang pengutusan nabi Muhammad selepas nabi Isa).
(Rujukan: http://www.islamonline.net/english/Journey/2005/11/jour01.shtml


Michael Wolfe (Dari Keluarga Kristian-Yahudi Amerika, Wartawan)

Michael Wolfe berasal daripada Amerika. Ibunya ialah seorang Kristian dan bapanya seorang Yahudi. Justeru berlatarbelakangkan itu beliau berkesempatan mengenali agama Yahudi dan Kristian namun kedua-dua agama itu tidak menarik perhatiannya. Agama Yahudi, baginya, amat menekankan tentang kaum yang terpilih (iaitu golongan Yahudi), dan pandangan ini tidak dapat beliau terima. Agama Kristian pula diselimuti pelbagai misteri.

Beliau menegaskan, "Agama kebenaran yang saya cari mestilah satu agama yang tidak mengabaikan aspek metafizik dan sains. Ia bukannya satu agama yang sempit yang susah untuk difahami. Agama itu tidak memerlukan manusia perantara seperti paderi. Ia tidak menentang perkara tabii seperti seks. Dalam agama itu perlu ada ritual atau amalan harian agar dengan itu kesedaran diri dapat dipertajam dan minda dapat disiplinkan. Yang paling penting, saya perlukan kejelasan dan kebebasan dalam beragama kerana saya tidak mahu membuang akal fikiran untuk digantikan dengan dogma atau kepercayaan secara membuta tuli... Dan semakin saya mengkaji Islam semakin saya menyedari bahawa inilah agama yang saya cari..... Antara buku yang beliau karang ialah 'The Hajj: An American's Pilgrimage to Mecca' dan 'One Thousand Roads to Mecca: Ten Centuries of Travelers Writing About the Muslim Pilgrimage'. Beliau mendapat Anugerah Wilbur 2003 kerana buku agama terbaik yang dihasilkan.

Rosalyn Rushbrook (Berijazah Dalam Teologi Kristian, Penulis Dari London)

Ruqaiyyah Waris Maqsood dilahirkan pada tahun 1942 di kota London, UK. Nama asalnya ialah Rosalyn Rushbrook. Beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian dan memperoleh ijazah dalam bidang Teologi Kristian daripada Universiti Hull pada tahun 1963. Pengetahuan beliau yang mendalam dalam ilmu Kristian merangsang beliau untuk menulis beberapa buah buku tentang agama itu.Antara buku yang ditulis beliau ialah 'In the Steps of Jesus', 'Jesus of Nazareth', 'Does God Have a Body?' dan 'The Trouble with God'.

Namun pengetahuannya yang mendalam tentang Kristian juga menyedarkan beliau tentang kesesatan agama Kristian terutamanya yang berkaitan dengan konsep triniti. Akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1986. Pada hari ini beliau berjaya menghasilkan pelbagai buku tentang Islam dan pada tahun 2001 beliau dianugerahkan Anugerah Iqbal kerana sumbangannya.

Mereka telah memilih Islam setelah mengkaji al-Quran. Bagaimana dengan kita semua yang sudah Islam? Adakah kita mengkaji dan membuat rujukan dengannya? Renung-renungkan....

sumber : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=9872&mode=thread&order=0&thold=0

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...
sometimes,pernah t'pikir gak,
org yg mmg dilahirkan dlm islam dicomparekan dgn org yg bersusah payah mencari kebenaran ttg islam n mendpt hidayah dr-Nya,
dorg ni lbh menghargai islam itu sendiri dr kita (i mean myself)...
knape manusia jrg nk bersyukur dgn ape yg ada.....??

Admin berkata...

wa'alaikumussalam wbth,

biasanya kita ini sudah take for granted (selesa dengan apa yang ada) yang menjadikan kita tidak mahu untuk mengenali, memahami, menghayati dan menjadikan ia sebagai satu cara hidup.

Bila dah kenal, maka akan makin jatuh cinta. Bahawa Islam itu terlalu indah.