Mereka melaung-laungkan perkataan merdeka, bebas atau ‘independence day’. Menyambut dengan jiwa berkobar mengibar bendera saban tahun, digantung di halaman rumah, diletak di hadapan kenderaan dan adakalanya berhabisan duit mengecat ‘banner’ sebagai yang terpanjang, terbesar, terbanyak dan sebagainya. Digali semula kronologi bagaimana suatu kemerdekaan sesebuah negara dicapai. Ditemubual tokoh-tokoh sejarah dan perajurit-perajurit yang mengharumkan negara. Dimeriahkan lagi dengan ceramah dan imbasan sejarah di media massa. Mengenang kembali jasa-jasa pahlawan terdahulu berjuang bermatia-matian untuk mendapatkan perkataan ‘merdeka’ untuk negara, maruah bangsa, dan agama. Jatidiri dan keutuhan sesuatu bangsa dinilai bagaimana mereka menghayati semangat kemerdekaan yang telah diterapkan sejak dibangku sekolah. Pelbagai aktiviti dan program diatur dengan sedemikian rupa untuk menjadikannya lebih bermakna. Tiba pula kiraan detik 12 malam, dataran, menara, tempat perhimpunan umum serta stadium dipenuhi sesak dengan jasad manusia. ‘Merdeka’ telah berkembang mengikut peredarannya dengan zaman dan keadaan. Bukan hanya pada manusia bahkan kepada makhluk Tuhan yang lain. Sebab nilai ‘merdeka’ telah menjadi suatu perkara yang subjektif, bukan hanya sekadar laungan semangat, konsert artis-artis terkenal, kiraan detik merdeka yang berakhir dengan limpahan bunga api dan perarakan hari kebangsaan pada keesokan harinya.
Berikan makna kemerdekaan kepada haiwan-haiwan yang terkurung di dalam kandang besi di dalam tahanan taman binatang, kepada beburung yang jemu kerana hanya diberi makanan dedak setiap masa, dan cemburu melihat rakan taulannya bebas berterbangan, hidup berkeluarga, mencari rezeki tanpa halangan. Kepada hutan belantara yang diceroboh, ‘dinodai’ oleh tangan jahat manusia.
Tolonglah! Berikan makna kemerdekaan kepada mereka yang berlari, berpindah randah ketakutan, keperitan hidup dari satu tempat ke tempat lain kerana kebuluran dan peperangan. Yang tertekan dengan kemiskinan hidup, berantakan rumahtangga. Kepada pelajar yang terperuk mengadap buku tidak tahu bagaimana bercampur gaul dengan orang kebanyakan seolah-olah hidup dikelilingi batu kaca dapat melihat orang di luaran tetapi diri sendiri tidak mahu melepasi halangan penghadang di hadapannya kerana baginya semua itu tidak menjamin masa hadapan, kepada orang tua yang jumud dan tidak dapat menerima pembaharuan untuk kebaikan.
Berikan makna kebebasan untuk orang kita yang hidup aman damai tetapi penuh berhasad dengki dan sakit hati, untuk anak-anak kecil yang melopong melihat kehebatan kartun luaran dan meniru segala perbuatan canggih yang tidak dapat diterima akal dam perbuatan buruk ibu ayah, abang kakak untuk mereka menirunya menjadi akhlak. Kepada mereka yang hanya duduk di warung-warung bercerita dengan penuh taksub kehebatan bangsa sendiri dan menghina kehadiran orang lain.
Beri makna kemerdekaan untuk anak-anaknya ‘merdeka’ berbuat sesuka hati memperbodohkan-bodohkan diri, merosakkan orang-orang yang fikirannya ligat mencari timbunan duit setiap hari membiarkan orang lain dan kebodohan itu kembali juga kepada diri mereka. Kepada sesiapa yang menginginkan kebebasan dari peraturan hidup beragama tetapi menyembah kepada berhala ciptaan mereka sendiri berbentuk nyanyian, pangkat, nama, anugerah, rumah, kereta berjenama, kecantikan, trend pakaian, telefon bimbit dan segala harta reta.
Kepada para pemikir dan ahli akademik yang bergantung harap, taqlid buta dengan teori, ideologi orang lain dan pendapat sendiri. Kepada pencinta agama yang suka berbalah, menyinsing lidah berselisih faham dengan perkara-perkara furu’ dan khilaf untuk memenangkan diri sendiri, yang tiada kepentingannya untuk membantu agama Allah agar tertegak kembali di dada orang-orang Islam yang amat memerlukan di kala ini.
Apa hebatnya kemerdekaan bila lari dari fitrah sebagai manusia yang amat memerlukan Tuhan, memerlukan landasan dan batasan, panduan dan pegangan? Kemerdekaan datang bila faham tentang iman, dapat menghayati kepentingan keperluan yang terutama dari kepuasan yang tiada hadnya. Wahai kemerdekaan, engkau saban masa tetap dilaung-laungkan oleh orang-orang tidak tahu apa itu kemerdekaan yang sebenarnya…
Mencari^Damai
Khamis, 7.00 p.m
10 Rejab 1425 Hijrah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan