Rabu, 13 Ogos 2008

Hari-hari Terakhir Seorang Bujang..

Insya ALlah, jika diizinkan ALLah, saya akan melansungkan pernikahan dengan bakal isteri (orang Kelantan) pada 17hb Ogos ini.

Rupa-rupanya waktu sudah semakin mendekat.. tidak sedar pula sudah jauh masa berseorangan ditinggalkan. Seorang sahabat yang sudah berkahwin dengan kata-kata tersiratnya "Jika aku bercakap tentang perkahwinan, tentu ramai yang tak sanggup untuk berkahwin".

ALlahu..ALlah..

Soal Tanggungjawab Bagi Lelaki

Dalam kepala ini, sudah banyak berfikir tentang masa hadapan. Perkahwinan adalah kisah tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh insan yang bernama lelaki. Ya, diri ini sedar masih banyak yang perlu diperbaiki. Soal hati, perasaan, kini bukan ditanggung berseorangan. Tetapi perlu dengan perkongsian.

Apabila membelek-belek diri... bolehkah diri ini memikul tanggungjawab yang berat ini ?. Dan saya selalu berkata dengan diri sendiri, sampai bila tidak mahu belajar apa erti TANGGUNGJAWAB? Prosedur berkahwin dari kursus kahwin sehinggalah ke majlis pernikahan memakan birokrasi yang banyak dan memeningkan. Soal kos amatlah merisaukan hati terutamanya bila mengenangkan kos minyak yang mencekik darah. Terima kasih kepada keluarga... ibu.. dan adik beradik yang banyak memberikan sokongan, begitu jualah kepada sahabat-sahabat yang ada juga menurunkan sedikit sebanyak ilmu kekeluargaan. ALlah jualah yang dapat membalasnya.

Benar kata sahabatku "Sebenarnya tugas isteri hanyalah melayan suami, bukan kerjanya untuk membasuh, memasak, menjahit dan sebagainya.. Jika isteri sanggup membantu itu adalah atas dasar ehsannya.." Begitulah sirah sahabat, apabila seorang sahabat yang datang kepada Saidina Umar untuk mengadukan perihal isterinya yang tidak henti-henti membebel, lalu ia sendiri terdiam bila melihat Saidina Umar sendiri dileteri oleh isterinya. Dan bila ditanya lalu Umar menjelaskan bahawa isterilah yang melayan di tempat tidur, menguruskan makan, pakai, serta menjaga harta semasa ketiadaan suami, maka jasanya perlulah dihargai.

Membimbing, Belajar Memahami dan Berusaha Membahagiakan

Firman ALlah :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)


Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah At Tahrim : 6)

Diri, belajarlah untuk menjadi suami yang soleh dan berfikiran matang. Di lewat solat, cubalah menjadi imam, paling kurang dapat memberikan sedikit tazkirah serta berbincang agar dapat membimbing isteri. Setiap keputusan walaupun natijah terakhir diutamakan kepada kepala sesebuah keluarga, tetapi perlu juga mendapatkan pandangan dari isteri.

Ya.. soal rezeki diserahkan pada ALlah setelah berusaha, yang penting soal halal dan haramnya, kerana ia mencorakkan keberkahan di dalam keluarga juga. Antara keperluan dan kehendak kedua-duanya perlu diperhati agar tidak menjadi permasalahan di kemudian hari.

Wahai diri adakah engkau sudah bersedia dengan tanggungjawab diri? Ya.. saya sudah bersedia untuk mengharunginya dengan pengharapan juga kepada ALlah. Dan doa dipohonkan juga dari keluarga dan rakan taulan moga ikatan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat dan dibawa ke akhirat.. Amiinnn

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasakan sendiri...hakikat sebuah perkahwinan .... seminggu pertama, sebulan pertama, setahun...beberapa tahun .... situasinya semakin tidak sama.....kamu akan lebih mengerti, melangkah ke alam rumahtangga bekalnya bukan sekadar rasa cinta semata ...menuntut sesuatu yg jauh lebih besar dari itu.

hanya Allah pengurnia segala kekuatan untuk membentuk keluarga yang diredhai Tuhan.

Selamat Pengantin Baru .... semoga mendapat berkat selalu.

Admin berkata...

Terima kasih... Ya, modalnya bukan cinta sahaja, tetapi lebih dari itu. Pengorbanan, pemahaman, tanggungjawab, dan sebagainya.

jelikweyh berkata...

lorh ... punyer lm x singgah rumah mu nih smpi t'lps nk wish slmt pengantin br ... slmt pengantin br ... semoga tabah m'harungi k'hidupan sbg s'org suami mithali ... slmt hr merdeka & slmt m'jalani ibadah d'bln ramadhan ... ( ^ _ ^ )