Khamis, 28 Ogos 2008

Kaya Maklumat, Tetapi Tapislah..

"Senang je nak tahu jawapan, carik je dalam google search nanti adalah tu.."

Internet - dunia tanpa sempadan yang tiada batasan dalam hubungan antara yang dekat dan yang jauh. Begitulah juga dengan apa sahaja yang dipanggil sebagai maklumat.

Di sini anda mudah hendak mencari apa sahaja isu terkini yang tidak terbilang jumlahnya. Banyak perkara yang boleh disimpan, diterima, diluahkan dan dibuang.

Kemungkinan - anda akan berhadapan dengan maklumat yang palsu, yang memberikan provokasi, yang menarik minat, yang merayu, yang memberi kesedaran, dan ada kalanya juga boleh memberikan kesusahan serta kemusnahan sekiranya tiada alat penapis iaitu ILMU PENGETAHUAN DAN IMAN.

Di dalam Internet ini, sekiranya saya memerlukan jawapan dari persoalan agama saya akan memastikannya ia tidak lari dari mazhab syafie dan asya'irah sebagaimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulamak ahlu sunnah wal jama'ah. Oleh itu, apapun persoalan agama yang didahulukan adalah dari mazhab syafie dan sekiranya ada situasi yang tidak dapat dielakkan maka barulah melihat kepada mazhab lain pula. Begitulah dari soal aqidah, saya mengikut pendapat khalaf yang salaf. Iaitu dari aliran asya'irah. Sebab saya yakin dengan pasti ia adalah aqidah ahlu sunnah wal jama'ah sebagaimana yang telah dipelajari sejak dari sekolah agama dahulu. Semuanya ada disertakan dalil dan hujjah dari al Quran dan Hadith serta syarah dan pandangan dari ulamak muktabar.

Di Malaysia ini umumnya mufti di seluruh negara adalah mengikut mazhab syafie dan aliran asya'irah (kecuali mufti perlis). Saya percaya mengikut ijmak ulamak dan majoriti muslimin adalah wajib. Maklumlah, di kala ini pelbagai serangan ideologi dan fahaman telah menyusup masuk di dalam minda para pelajar terutamanya mereka yang kurang didikan asas dalam perkara aqidah. Begitu juga dengan profesional dan ada juga dari negara lain yang menyebarkan fahaman yang pelik dan ganjil dari pendapat majoriti ulamak seluruh dunia dari dahulu hinggalah sekarang.

Mengenai Al Quran

Carilah guru untuk belajar mengenai ilmu al Quran, yang penting anda perlu menguasai bahasa Arab untuk menguasai al Quran juga. Sebab al Quran adalah di dalam bahasa Arab yang unik yang kaya dengan nahu, sorof, balaghah dan majaznya, wazannya. Untuk mengetahui tentang al Quran - anda akan didedahkan dengan ayat makki (ayat yang turun di Makkah) dan ayat madaniyyah (ayat yang turun di madinah) serta apa tanda-tandanya. Tidak lupa juga mengenai ayat yang muhkamat dan mutasyabihat, ayat yang khusus dan umum, nasikh dan mansukhnya. Begitu juga tentang ayat-ayat yang turun disebabkan oleh peristiwa tertentu, soalan tertentu yang ditanyakan kepada Nabi Muhammad. Proses penurunan al Quran, pembukuannya, erti wahyu, erti al Quran akan disampaikan kepada anda juga.

Bukan itu sahaja, untuk memahami al Quran rujuklah juga pada mufassirin yang muktabar, bukan dengan menggunakan akal sendiri - Jika menggunakan akal dan pendapat sendiri yang tiada kelayakan maka jadilah anda seperti anti hadith (yang mengambil ayat al Quran dari terjemahan kemudian menolak hadith RasuluLlah), atau muktazilah (yang hanya mengikut akal semata-mata).

Mengenai Hadith

Eloklah sebelum bertanya tentang hadith ini apa darjatnya sahih atau tidak, siapa perawinya ?. Anda belajar dahulu apa erti hadith. Kemudian belajarlah juga darjat hadith melalui ulumul hadith. Di sana ada diterangkan mengenai darjat hadith dari segi matannya - samada ia adalah sahih, hasan atau dhoief. Di situ juga anda akan diajar mengenai kekuatan hadith-hadith tersebut serta kebolehan beramal dengannya. Bukan apa.. supaya tidaklah dengan kejahilan diri - terus mengatakan hadith ini dhoief ia sama sahaja dengan maudhuk, kendian mengatakan pula hadith dhoief tertolak terus. Sedangkan para ulamak hadith membolehkan beramal dengannya dengan syarat-syarat tertentu. Hadith dhoief juga boleh naik tarafnya kepada hadith hasan sekiranya banyak hadith lain yang menyokong hadith tersebut.

Anda juga akan didedahkan dengan darjat hadith melalui sanad - seperti Hadith Mutawattirah, hadith gharib dan hadith ahad.

Ingatlah - hadith juga ada yang dinasakhkan, dimansukhkan, ada yang umum dan ada juga yang khusus.

Ya - anda juga perlu mempelajari tentang jarh wa at ta'dil - iaitu mengenai kecacatan dan keadilan perawi. Opss... dengan hanya belajar hadith bukan bermakna anda sudah boleh mengeluarkan hukum sepertimana para mujtahid (iaitu ulamak yang sudah boleh mengeluarkan hukum). Belajar hadith dan menguasainya cuma satu dari cabang ilmu sebelum melayakkan diri menjadi mujtahid.

Mengenai Tauhid

Jika anda tersilap langkah mungkin sahaja anda keliru dengan orang yang menyamakan ALlah dan makhluk-Nya. Lalu mengatakan dengan bersungguh-sungguh ALlah ada tangan, kaki, duduk dan sebagainya. Sedangkan mereka yang terdahulu (salafiyyin) mereka tidak membicarakan lansung mengenai zat ALlah, dan menyerahkan maknanya bulat-bulat kepada-Nya.

Dan mungkin lebih jauh lagi, terpengaruh pula dengan fahaman jabariyah, qodiyani, bahaiyyah, murji'ah, qadariyyah, ayah pin, ajaran guru kahar, rasul perempuan dan fahaman yang menyebabkan aqidah di dalam merbahaya yang memungkin jatuh kepada daerah terkeluar dari Islam..

Dan mungkin juga ada yang mengatakan pengajian sifat 20 adalah dari unsur falsafah - sedangkan pengajian sifat 20 inilah yang memerangi fahaman muktazilah. Kasihannya sebarang penuduhan yang dibuat datangnya dari mereka yang tidak mendalami secara khusus sifat 20 ini ataupun belajar sedikit kemudian merasa ia terlalu susah. Lalu terus keluar dan menyebarkan pada masyarakat bahawa sifat 20 susah untuk dipelajari dan membuang masa (sedangkan ia tidak faham bahawa yang paling asas adalah belajar sifat 20 yang asas itu sahaja, manakala untuk belajar lebih mendalam terpulanglah dengan inisiatif diri sendiri).

Rupa-rupanya - setiap sifat ALlah yang telah digali dari al Quran oleh Abu Hasan Al Asy'ari dan Abu Mansur Al Maturidiyyah mempunyai hujjah dan dalilnya dari al Quran bagi mematahkan hujjah para pemikir yang hanya menggunakan akal serta pendokong kristian dan pendapat mereka yang athies.

Anda boleh lihat senarai ulamak asya'irah di sini :

http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/200



Mengenai Feqh

Zaman ini ramai benar yang ingin bercakap mengenai hukum halal dan haram. Yang lagi hebat - ada yang kata ambil sahaja al Quran dan hadith sahih maka sudah cukup. Sedangkan para ulamak mujtahid yang pakar dalam feqah - mereka ini telah menguasai kriteria seorang mujtahid iaitu :

1. Islam dan bersifat adil

2. Mengetahui tentang al Quran beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan Syariat

3. Mengetahui hadith beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan syariat

4. Mampu mengetahui tentang masalah-masalah ijmak serta tempat-tempat berlaku ijmak. Hal tersebut supaya mereka tidak mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengannya.

5. Mengetahui tentang al Qiyas iaitu merangkumi tentang illah, hikmah, kemaslahatan masyarakat serta uruf.

6. Mengetahui bahasa Arab dengan baik dan sempurna. hal ini supaya dapat mentafsirkan al Quran dan Hadith dengan baik serta dalam istinbat hukum

7. Mengetahui nasikh dan mansukh daripada Al Quran dan Hadith

8. Mengetahui usul fiqh kerana ia merupakan asas dalam berijtihad dan istinbat hukum.

9. Mempunyai kefahaman yang baik dan benar supaya mampu untuk membezakan antara pendapat yang benar dengan pendapat yang salah. Iaitu mempunyai kecerdikan serta kemahiran dalam ilmu pengetahuan yang dalam.

10. Baligh. Iaitu cukup umur dan sempurna akal pemikiran.

11. Mengetahui dalil akal dan kehujahannya.

12. Mengetahui nas dan dalil yang berkaitan dengan hukum hakam sekurang-kurangnya, biarpun tidak menghafaznya.

13. Mengetahui sebab nuzul, ayat serta datang hadith atau asbab wurud hadith serta syarat mutawattir dan Ahad.

Oleh kerana itu, para ulamak tidak berwenang untuk mengeluarkan hukum itu halal, ini haram, itu bid'ah sesat dan sebagainya. Sebab perlu diingat banyak perkara yang perlu diperhatikan sebelum mengeluarkan sesuatu hukum. ALlahu ALLah.. para ulamak yang takutkan ALlah, mereka ini berhati-hati di dalam menanggapi sesuatu permasalahan dengan teliti. Takut-takut leher mereka sendiri akan dijerut oleh hukuman yang bukan haq.

"Katakanlah! Apakah kamu menyetahui apa-apa yang Allah telah turunkan untuk kamu daripada rezeki, kemudian dijadikan sebagian daripadanya itu, haram dan halal; katakanlah apakah Allah telah memberi izin kepadamu, ataukah memang kamu hendak berdusta atas (nama) Allah?"(Yunus: 59)

Dan firman Allah juga:

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Persoalannya di sini - Mengapa tidak bertanya dengan yang lebih tahu (pakar) tentang permasalah feqh agar diri yang tidak berkelayakan tidaklah mengeluarkan pernyataan yang mendustakan ALlah dan Rasul-Nya?. Sebagaimana seorang pesakit yang memerlukan ubat - tentulah ia akan berjumpa dengan doktor bagi mengetahui akan sakitnya serta ubat-ubatan sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakitnya itu dengan izin ALlah. Dan bukan dengan jalan memandai-mandai sehingga membahayakan diri dan orang lain. Sebagaimana perintah ALlah menyuruh kita bertanya dengan orang yang berpengetahuan yang lebih faham :


فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٤٣)

Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (Surah An Nahl : 43)

Jangan lupa, belajarlah juga tentang bagaimana beradab dengan khilaf ulamak - Anda boleh merujuknya di sini :http://mufti.penang.gov.my/khilaf.pdf

Supaya tidaklah dengan kejahilan anda menghukum pendapat ulamak muktabar sebagai bid'ah sesat, terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah dan segala macam pertuduhan yang lain yang menimbulkan permusuhan, perbalahan bahkan murka dari ALlah ta'ala.


ALlahu ALlah..


Duduk di alam internet.. jari jemari mudah menekan papan kekunci. Mungkin ada perasaan gopoh, ingin mudah dan cepat, mencari kelainan, perasaan ingin tahu dan bermacam lagi. Di dalam diri buatlah satu pertahanan diri yang terdiri dari ILMU, IMAN dan AKHLAQ. Agar diri kita tidak tersasar jauh atas kehendak lautan ilmu yang tidak terbatas tetapi berdiri atas kejahilan menapisnya.

Tiada ulasan: