Khamis, 11 September 2008

Musuh Kita Adalah Sikap


Pernah hadapi situasi begini ? Sebuah kereta (tidak kiralah apa jenis dan warnanya) memotong laju kereta yang lain. Entah apa yang dikejarnya.. Sampai di lampu isyarat, jeling sekejap di cermin tingkap. Rupanya kereta itupun terpaksa berhenti walaupun kelajuannya tadi mengejutkan juga. Apa yang dikejar sebenarnya?

Tidak berapa lama dahulu ada ura-ura dari kerajaan untuk menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar di belakang dan ia sudah dikuatkasakan pada Jun 2008. Maklumlah sudah ramai orang yang berani mati di jalanraya. Walaupun terkadang memang sudah berhati-hati menjaga semua aspek keselamatan. Tetapi berlaku juga kemalangan kerana kesalahan orang lain.

Pemandu yang membawa kenderaan besar, tolong hormat juga kenderaan kecil yang lain. Bukan susah pun nak beri laluan atau lalu di laluan lorong kiri yang telah ditetapkan. Anda bawa terlalu laju sehingga orang di dalam bas pun tidak senang duduk. Nyawa yang anda bawa itu tidak ternilai harganya. Barang yang anda bawa itu pula bukan ringan kilonya..

Wahai pemandu motor... pakailah helmet dengan betul, jangan asal sahaja pakai sehingga lupa hendak mengikat tali helmet. Ingatlah, dibandingkan kepala kita dengan jalanraya, yang lebih keras adalah tar jalan tersebut.

Kenderaan warna hitam, pakaian pun hitam, helmet juga hitam - jangan sampai hitam masa depan sudahla..

Wahai orang kita, ayat al Quran yang ditampal itu bukan azimat yang boleh menjamin keselamatan jika sekadar perhiasan. Bacalah doa sebelum memulakan perjalanan. Kawal mental agar dapat bersabar dalam apa jua keadaan.

Orang kita.. dalam keadaan kesesakan lalu lintas, tidak perlulah menekan hon berkali-kali bagai orang yang hilang akal. Perbuatan itu hanya sia-sia sahaja sekiranya di hadapan nun jauh di sana keadaan yang sama berlaku kerana kecemasan. Orang lain pun nak cepat juga - tetapi tetap juga kena bersabar. Sebab kita sama-sama berada di atas jalanraya.

Ibu dan bapa - perhatikan anak-anak kita yang suka merempit, dan rajin 'modified' motornya. Keinginan anak perlu dikawal juga. Bukan semua keinginannya perlu diikut tanpa memikir untung ruginya di masa hadapan. Jika sudah berbalut kepala, tergantung kaki. Kita juga susah memikirkan tentang Duit terbang, waktu yang terbuang dan masa depan anak yang semakin kabur.

Ubahlah sikap wahai orang kita, orang lain pun hendak hidup lama. Berapa banyak sekalipun undang-undang diperkenalkan, tetapi perangai tidak berubah. Kadar kemalangan tetap meningkat juga.

Ingat wahai diri akan peringatan-Nya :

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِ‌ۛ وَأَحۡسِنُوٓاْ‌ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)

“Dan janganlah mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" (Al-Baqarah: 195).

1 ulasan:

cikgu_eya berkata...

suker btol ayat2 nih....

'Ingatlah, dibandingkan kepala kita dengan jalanraya, yang lebih keras adalah tar jalan tersebut.'