Rabu, 17 September 2008

Pemerintah..Dengarlah Rintihan Rakyatmu ini..


Wahai pemerintah, apa khabar rakyatmu pada hari ini?

Dalam keributan kemelut politik yang tidak sudah, tetap juga ada pinggiran manusia yang hidupnya mengikat perut. Bila yang di atas bertelagah, sibuk memikirkan tentang kedudukan masing-masing. Duduklah di kampung-kampung dan mendengar pakcik dan makcik mengerutkan dahinya sambil mengeluh akan kenaikan harga barang.

Harga barang naik lagi!, harga beras petas yang dahulunya dapat dimakan untuk seminggu kini dapat ditampung untuk 2,3 hari sahaja.

Kami tidak ambil tahu tentang kisahnya minyak yang khabarnya sudah turun dari 140USD kepada 90 USD. Sebab kami tidak faham tentang angka-angka itu. Yang kami tahu, anak-anak kami perlukan makan dan pakai sehari-hari. Manakan hendak dicari duit belanja sekolah, duit bas. Itupun jika ada motor perlu juga diisi minyaknya. Untuk membeli garam, gula, tepung, susu anak-anak pun perlu juga dikira banyak sikitnya.

Wahai pemerintah,

turunlah di lapangan medan kehidupan rakyat. Cubalah sehari dua belajar menaiki bas membayar tiket. Duduk di dalamnya sambil merasa air cond yang kadangkala hidup dan biasanya panas membahang tidak padan dengan harga yang dibayar. Surcaj 30% bukan kecil jumlahnya buat diri kami yang mencari makan siang dan malam dan menggunakan pengangkutan awam. Anak-anak kami yang hendak pulang ke kampung halaman di hari lebaran nanti perlukan duit juga. Kami tidak tahu rupanya ada juga ulat tiket yang mendapat duit atas angin sebulan hampir rm 3ribu hingga 5 ribu. Mereka yang perlu mengadakan pemeriksaan dan penguatkuasaan hanya setahun sekali sahajakah? Atau hanya timbul pada waktu perayaan sahaja?

Turunlah juga di pasar dan kedai runcit membeli barang harian selalu. Berapa banyak barangan yang dijual ditimbang dengan tidak diletakkan harganya. Kami hanya membayar, walaupun berat juga memikirkan tentang wang yang semakin menipis untuk membeli barang yang lain pula.

Wahai pemerintah..

Perhatikan hal ehwal kehidupan kami, kueh mueh yang dibeli tidak lagi dapat 5 biji untuk rm1.00, jika di bandar pula.. mana ada tempat untuk kami bercucuk tanam kerana di sekelilingnya adalah batu dan tar. Kasihan rakan-rakan yang tinggal di rumah pangsa kos rendah. Apa pula yang mereka makan untuk sehari-hari? Sempit dan sesak dengan anak yang ramai, tiada pula tempat untuk beriadah kerana di hadapan sudah jelak memandang pintu rumah.

Wahai Pemerintah..

Perhatikanlah pendidikan agama kami.. dahulu kami senang untuk melakukan amal ibadah tanpa ada rasa was-was. Kini sudah ada golongan yang mempertikaikan amalan kami dengan tuduhan sesat dan terkeluar dari ajaran Islam. Kami dalam kepeningan dan keliru. Mana satu yang perlu kami ikut? Anak-anak kami ada pula di antaranya yang berlaku kurang ajar dengan orang tua. Yang rajin menghadiri kelas agama boleh dibilang dengan jari. Bahkan di antara kami sendiri ada berlaku tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Sungguh kami keliru!

Terima kasih kerana membantu kami dari sudut pembangunan, tetapi alangkah baiknya sekiranya pembangunan itu didirikan selari juga dengan pembangunan kerohanian.

Resah..risau melihatkan anak-anak yang tidak kenal tikar sejadah, sedih bila ramai yang tidak tahu bagaimana untuk bersyahadah. Di pelusuk pedalaman bukan tiada anak-anak remaja yang melahirkan anak luar nikah. Di waktu malamnya merempit dan di waktu siangnya menghidu gam, minum arak dan berpeleseran. Di pusat bandar pula kami hanya mampu menggeleng kepala, entah yang mana perempuan dan yang mana pula lelaki. Adakah ini yang dinamakan zaman berteknologi sehingga semua perlu ditiru serba serbi?

Wahai pemerintah..

Cukuplah dengan bertelagah, kami ini hanyalah pelanduk di tengah-tengah gajah yang sedang berkelahi. Nasib kami siapalah yang akan ambil peduli...

Tiada ulasan: