Sabtu, 27 September 2008

Selamat Tinggal Ramadhan, Salam Pertemuan Aidilfitri

Ramadhan rupanya akan meninggalkan kita buat sekian kalinya. Mudah-mudahan dipanjangkan umur untuk menghadiri madrasah Ramadhan pada tahun akandatang.

Ramadhan mengajar diri menjaga disiplin-disiplin yang telah ditetapkan oleh ALlah dan Rasul-Nya untuk diikuti dan dihayati. Perginya Ramadhan sebagai satu penilaian kepada diri kita samada semakin baikkah akhlaq yang selama ini dilentur ataupun natijahnya tetap juga sama apabila tiba sahaja bulan-bulan lain.

Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal adalah hari kemenangan, hari kegembiraan. Di hari ini diharamkan untuk umat Islam berpuasa untuk meraikan hari kemenangan melawan hawa nafsu dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Apabila Penyimpan Mohor Besar telah membuat pengumuman mengenai jatuhnya 1 Syawal pada keesokan harinya, marilah kita bersama-sama bertakbir kemenangan samada di masjid, surau ataupun dengan keluarga di rumah. Kita membesarkan ALlah, mengucapkan syukur kepada-Nya.

"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.(Surah Al-Baqarah : 185)

Berpagi-pagi di Aidilfitri, mandi sunat aidilfitri, memakan kurma, pakailah pakaian yang terbaik (cantik dan kemas) dan bersegera menuju ke masjid. Apabila pergi lalulah di jalan lain, dan semasa pulang ikutlah pula jalan lain.


Dari Anas ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Raya Fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa Baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil. (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)


Adab-adab menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Selepas habis sahaja mendengar khutbah selepas Solat Sunat Aidilfitri, bermaaf-maafanlah sesama ahli masjid, surau, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai serta semua saudara seIslam. Begitulah, kita ini terkadang tersilap tafsir - bahawa meminta maaf setahun sekali, sedangkan sepatutnya apabila sahaja berlaku khilaf mintalah maaf sesama kita. Jika ada benci, buanglah sejauh-jauhnya. Hidup ini amat singkat hanya untuk bermusuh-musuhan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dan Surah Al-Hujuraat ayat 10 tafsirnya:"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ziarahilah antara kita untuk mengeratkan tali persaudaraan, bersalam-salaman, mungkin selama ini sudah terputus lama hubungan. Tidak kedengaran khabar berita, maka di hari mulia ini adalah titik permulaan untuk bersatu kembali kerana ALlah.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud:"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia menghormati tetamunya dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.

Jika hendak ziarahi kubur ikutilah adab-adabnya, beri salam, mendoakan ahli kubur, membaca al Quran (dan berdoa mudah-mudahan pahala dari bacaan al Quran dapat disedekahkan kepada ahli kubur). Jiruslah air di atas kuburan serta menaburkan dengan bunga dan dedaunan yang masih basah. Kepada wanita Islam yang beriman - tolonglah tutup aurat, bukan sahaja semasa solat, bahkan juga sepanjang masa yang wajib untuk menutupinya.

Dan elok juga diperingatkan buat diri dan semua umat Islam, marilah kita berpuasa enam hari selepas 1 Syawal.

Dari Abi Ayub Al-Ansari Radiallahuanhu, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Untuk Pengetahuan : Dalil-dalil yang disebutkan di atas dirujuk melalui laman web mufti brunei di dalam khutbah raya serta adab-adab menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tiada ulasan: