Bernasyid secara umumnya dapat difahami ialah sekumpulan atau individu yang menyampaikan lagu yang bercorak dakwah dan mempunyai alatan muzik yang tersendiri seperti kompang, tabla, bongo dan yang sewaktu dengannya. Jika di zaman 80 an (bahkan sebelum itu) kumpulan nasyid bergerak dengan ahli kumpulan termasuklah 'percussion'nya untuk melengkapi sesebuah persembahan.
Lagu-lagu bercorak dakwah ini menjadi gamitan hati terutamanya apabila baitnya berkisarkan keTuhanan, dosa hamba kepada ALlah, laungan jihad, berfikir tentang kehebatan ALlah, ukhuwah, iman dan yang berkaitan dengannya.
Negara kita pernah digemparkan dengan kejayaan kumpulan Raihan pada tahun 1996 dengan jumlah albumnya mencapai 600,000 unit. Bahkan sebelum itu mereka sudah dikenali dengan kumpulan The Zikr. Bagi para peminat nasyid nama-nama seperti Nadamurni, Mirwana, Shoutul Amal, An Naurah, Anugerah, Lambaian Kasih, Orkes Suraya, Al Jawaher, Al Mizan - ia tidak perlu diperkenalkan lagi.
Setiap alunan yang disampaikan pastilah mempunyai mesej yang tersirat dan tidak bosan apabila lagu ini diulang-ulangi sehingga kini.
Kumpulan Nasyid Ke Mana Hala Tujumu?
Saya pernah bertanyakan kepada salah seorang kumpulan nasyid yang baru ditubuhkan dan dalam proses merakamkan album serta video klip. "Mengapa perlu ada lagu cinta" dan beliau menjawab "Ia sudah menjadi trend masakini," (lebih kurang begitulah jawapannya).
Pergerakan kumpulan nasyid (individu atau berkumpulan) semakin melebar langkahnya sehingga kini. Dengan melodi yang baru berbentuk hiphop, balada, dan sebagainya merentasi masa - katanya agar mudah remaja untuk mengikuti sebagaimana masa yang semakin berkembang rancak.
Disebabkan saya suka berfikir - maka saya tertanya, berapa banyak lagu nasyid kini benar-benar memberi erti kepada jiwa agar semakin dekat dengan ALlah, berbanding apabila mendengar sahaja badan terlonjak-lonjak, bibir bukan melantunkan kalimah ALlah, tetapi terjerit-jerit?. Tambahan pula diserikan lagi dengan penasyid yang bermuka kacak. Peminat nasyid, sebenarnya anda melihat pada paras rupa atau isi yang hendak disampaikan?
Wahai kumpulan nasyid, anda mengejar populariti atau sebenarnya mencari keredhaan ALLah? Anda akan dapat bezakan dalam hati anda sendiri apabila mengumandangkan zikir-zikir, dan bait-bait itu ketika menyampaikannya.
Album sudah banyak juga diterbitkan, tetapi lagu lama juga dinyanyikan kembali (itupun sudah berubah cara penyampaian sehingga terkadang menyampah hendak mendengarnya). Diri ini tercari-cari juga di mana letaknya jati diri nasyid islami yang dahulu dapat menggetarkan jiwa para abid, yang dapat menyentak hati agar terus berdamping kepada ALlah lalu mencurahkan perasaan kasih sayang sesama saudara Islam.
Di dalam simpanan saya sekarang ini yang masih dimainkan di dalam pemain kaset adalah lagu-lagu lama yang mengimbau kembali saat kegemilangan nasyid di tanahair kita. Contohnya :
1. Kumpulah Anugerah - Masih Ada Waktu
2. The Best Collection - Mirwana, All For Ummah, Soutul Mujahideen, Soutul Jihad
3. Lambaian Kasih - Dunia Oh Dunia
4. Munajat - Asri & Nadamurni
5. Suara Firdaus - Syahdu
6. Alarme - Alami
dan ada beberapa lagi album kaset kumpulan nasyid di zaman 80 dan 90 an yang saya rasa masih berhak dimainkan sebagai penguat jiwa.
Mungkin kebimbangan peminat nasyid yang 'hard core' berasas, iaitu hilangnya nasyid di zaman ini apabila jatidiri nasyid telah dicemari dengan pengisian yang berbentuk memuja wanita, membicarakan isi yang sama sahaja (sedangkan banyak isu semasa boleh disentuh), melodi yang cacamarba, penasyid yang mementingkan populariti (ingatlah, anda sedang berdakwah bukan menyanyi lagu biasa).
Fikirkan, lagu yang terkesan di hati adakah yang berunsurkan cinta (cinta yang menjurus kepada muda mudi)? ataupun sebenarnya adalah kalimah yang dapat memberi kesembuhan pada jiwa, menenangkan hati, yang mengingatkan pada mati dan mengembalikan diri kita kepada ALlah?
Usaha mengembalikan kegemilangan nasyid di Tanahair
Kepada penggiat nasyid tanahair, marilah sama bermuhasabah diri. Di mana silapnya penyampaian kita, dimanakah hilangnya nur yang menyinari hati para pendengarnya?. Ya, jiwa-jiwa semakin kontang akibat serangan banyaknya lagu yang mengkhayalkan, terlalu banyak sudah lagu yang menceritakan tentang cinta manusia yang tiada hak. Begitu juga dengan diri kita yang selalu memikirkan antara dua samada populariti ataupun keikhlasan menyampaikan dakwah melalui medium hiburan.
Perpecahan, penyingkiran tanpa hak di antara anggota kumpulan nasyid. Begitu jugalah pengambilan ahli kumpulan nasyid secara tangkap muat (baru-baru ini ada seorang ahli kumpulan nasyid yang mengaku dirinya adalah bidan terjun yang diambil untuk menganggotai kumpulan nasyid sambil bergambar dengan artis wanita - sebagai satu alasan agar dirinya tidak kena tempias akibat kata-kata manusia yang akan mempertikaikan dirinya kelak pada masa akandatang). Semua ini perlu difikirkan semula.
Dalam keadaan sibuk dengan persembahan dikembangkan lagi dengan perniagaan. Jadikanlah lagu yang disampaikan dan persembahan agar lebih berkualiti. Apa perlu bercambahnya kumpulan nasyid seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, tetapi kualitinya tetap di bawah 'standard' dakwah yang sebenar.
Wahai kumpulan nasyid yang masih hidup, yang baru hendak mula melangkah.. Anda tahu tujuan asal untuk bernasyid, ukhuwwah di antara sesama sendiri. Sama-samalah kita fikir-fikirkan.
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
-
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ? Soalan:Ketika sedang
sujud adakah kedua kaki direnggangkan atau dirapatkan. Mana satu cara yang
betul?Ja...
9 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan