Ahad, 25 Mei 2008

Menulis dengan Jiwa

Apa tujuan kita menulis?

Banyak sebab mengapa kita menulis, ada yang menulis untuk diri sendiri, untuk diambil pengajaran melalui diri sendiri, untuk mengisi masa lapang. Ada yang bertujuan meluahkan perasaan dan memberi buah pandangan. Begitu juga untuk menyampaikan ilmu, isu semasa dan sebagainya. Bahkan ada juga untuk menyebarkan ideologi, fahaman dan cara berfikir samada ia adalah benar ataupun tidak. Begitulah, setiap orang ada alasannya masing-masing untuk menulis..

Timbul persoalan di dalam fikiran, entah mengapa di zaman ini yang semakin bercambah ilmu, buku-buku yang mudah didapati di pasaran, ilmu sudah amat mudah diperolehi dengan senang melalui satu ketikan di papan kekunci komputer. Terlalu susah untuk mencari tulisan yang dapat memberikan suntikan ke dalam jiwa, yang dapat memberikan nilai akhlaq yang nampaknya semakin terhakis dari diri manusia ?..

Ya, ramai yang boleh menulis, tetapi tidak ramai yang dapat memberikan cahaya apa yang ditulis kepada orang yang membacanya.

Ada orang yang menulis artikel ilmiyah, tetapi yang dapat di dalam minda hanyalah hujjah-hujjah untuk menghentam dan menyesatkan jemaah Islam yang lain. Akhirnya lahirlah tulisan yang hanya berpandukan kepada hawa nafsu - untuk menang. Tiada di situ perimbangan yang adil di dalam menilai, alangkah banyaknya tulisan yang membawa manusia kepada permusuhan dan perpecahan... Patutlah - sudah diajar bahawa apabila membaca perlu ada gurunya, bila belajar biarlah ada disiplin ilmu dan tidak terkecuali adab-adabnya baru diri tidak tergopoh-gapah di dalam membuat penilaian.

Ada juga yang menulis tentang isu politik, gelagat artis -diceritakan pula gosip-gosip panas, dicantikkan agar yang buruk menjadi baik. Yang baik pula diburuk-burukkan. Akhirnya timbullah kecelaruan - dimanakah sebenarnya kebenaran....

Timbul di dalam hati... di zaman ini, alangkah sukarnya mencari ilmu yang hadir dari jiwa yang bersih. Perkataannya boleh menimbulkan rasa ingin membuat kebaikan, bait tulisannya menggerakkan diri untuk berjihad ke arah kebenaran, yang dapat memberikan kesatuan dan mengibarkan semangat untuk berjuang. Tulisan yang hadir dari hati yang ikhlas dan bersih akan masuk ke dalam hati, melembutkan empunya budi, biar tidak ramai yang akan membacanya (maklumlah terkadang yang ditulis tidak banyak petikan dan hujah dari al Quran dan hadith - apapun isinya tidak menyalahi kedua sumber ini) tetapi daripadanya terdapat akhlaq yang membentuk diri yang membacanya.

Barokahnya kitab yang dikarang oleh ulamak terdahulu, menjadi tempat rujukan di setiap generasi. Ada ahli hadith sebelum menulis - dihubungkan dirinya dengan ALlah dengan membuat solat sunat terlebih dahulu. Ada juga ulamak yang kata-katanya dinukil menjadi kata hikmah yang menjadi penyubur jiwa, kerana kata-kata yang dilukiskan di lidahnya adalah dari hati yang tercerna menjadi akhlaq diri. Waraknya mereka untuk tidak menobatkan diri mereka sahaja yang benar, kerana kebenaran itu datangnya dari al Quran dan Sunnah dan pemegang kebenaran sebenarnya adalah ALlah.

ALlahu.. ALlah..

Wahai diri... apa yang engkau tulis kini yang dibaca orang akan dipertanggungjawabkan. Tiada alasan untuk memadamkan kesalahan jika kebatilan yang engkau bawa. Jika ada disebaliknya kebaikan dan dapat mengubah diri manusia itu adalah atas kehendakNya. Jangan sombong dengan tulisan untuk mendabik dada.

Ingatlah wahai diri.. jika ini sahaja kelebihanmu untuk menyampaikan ilmu melalui penulisan, coretkan ia dengan ikhlas. Jangan sampai ia menjadi fitnah yang tidak berkesudahan.. Kononlah darinya engkau inginkan amal kebaikan, rupa-rupanya pada pandangan ALlah adalah amal kejahatan.... ALlahu.. ALlah...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum..

"Terlalu susah untuk mencari tulisan yang dapat memberikan suntikan ke dalam jiwa, yang dapat memberikan nilai akhlaq yang nampaknya semakin terhakis dari diri manusia ?.." betul juga.. ada buku isinya padat tapi penyampaian susah difahami.. akhirnya tidak masuk dalam hati..betullah kut fahaman saya dari ayat penulis..

saya termasuklah "menulis" untuk kefahaman sendiri.. huhu untuk "tulis" apa yang ingin saya tahu..perkara yang mudah2 lah..

ada orang kritik orang yang isi blognya cuma copy paste.. bagi saya walaupun copy paste tapi pasti ada objektifnya..

ringkas manapun, dan rendahnya nilai idea seseorang itu (sebab hal ini memang dinilai orang) tapi kalau niatnya baik, pasti nilainya tinggi di sisi Allah..

Sesiapa yang ingin berdakwah, tak semestinya isi penulisannya berat.. pastilah berbeza ilmu seorang pelajar agama dan yang bukan pelajar agama.. tapi naluri itu tetap sama iaitu ada niat berdakwah.. tak semestinya isi yang berat itu yang membuatkan seseorang berfikir.. ada masa benda2 yang basic itu yang perlu untuk refresh iman seseorang.. dan siapa tahu dengan izin Allah, dengan cuma satu perkataan atau cuma satu ayat quran atau cuma sebuah hadis dari blog seseorang, boleh menjadi titik hidayah dan menjadi titik hati seseorang terbuka..

betullah, sesiapa yang ada ilmu itu silalah tulis dan sampaikan dengan berakhlak dan beradab..

hee..panjang lebar pula..

apapun, syukran.. isi penulisan blog ini mampu menyuntik jiwa pembaca.. :-)