Isnin, 29 Oktober 2007

Jom Ajak Mereka Solat!


Aku ada mengikuti beberapa program ihya' Ramadhan dan motivasi, terkadang mempunyai tugas untuk memberi tazkirah dan sedikit kuliah kepada peserta program tersebut. Biasanya soalan yang akan terbit dari bibirku adalah "Siapa sini yang cukup solat 5 waktu sehari semalam?". Adalah yang mengangkat tangan dua, tiga ketul, itupun takut-takut (tak yaqin?). Begitulah seterusnya, aku akan bertanyakan siapa yang bersolat 4,3,2,1 dan tak solat langsung kepada peserta program. Dan bilangan yang mengangkat tangan adalah melebihi mereka yang sempurna solatnya dalam sehari.

Sejarah Solat.


Solat merupakan ibadat yang telah disyariatkan oleh ALlah semenjak zaman dahulu lagi. Dan ALlah telah berfirman kepada Nabi Ismail yang bermaksud :

Dan dia menyuruh ahlinya bersembahyang dan menunaikan zakat dan dia adalah orang yang diredhai di sisi Tuhannya (Maryam :55)

Dalil Solat disyariatkan :

1. Di dalam surah ar Rum ayat 17-18 bererti : Maka bertasbihlah kepada ALlah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu subuh dan bagiNya segala puji di langit dan di bumi dan di waktu kamu berada pada petang hari dan waktu zohor.

Ibn Abbas berkata : Maksud di petang hari ialah sembahyang Maghrib dan Isyak, waktu Subuh ialah sembahyang Subuh, petang hari ialah sembahyang Asar, dan waktu Zohor.

2. Firman ALlah dalam Surah an Nisa':103 yang bererti : Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.


Dalil daripada hadith ialah :

1. Hadith berkenaan dengan peristiwa Israk dan Mikraj sebagaimana yang telah disebut. Diriwayatkan oleh Bukhari (342) dan Muslim (163) bahawa RasuluLLah s.a.w telah bersabda yang bererti :

Telah dibuka atap rumahku, sedangkan aku ketika itu di Makkah. Lalu Jibril turun....kemudian ia memegang tanganku dan mengangkatku ke langit....Kemudian ALLah telah mewajibkan ke atas umatku dengan 50 waktu sembahyang ...Lalu aku berulang alik kepadanya. Kemudian ALLah berfirman : Ia hanya lima waktu (dari segi kewajipan menunaikannya) dan 50 waktu (dari segi pahala) tidak ditukar ganti lagi kata-kata di sisiKu.

Menurut pendapat yang sahih, peristiwa Israk Mikraj berlaku 18 bulan sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah. Dengan demikian sembahyang lima waktu yang diwajibkan itu telah memansuhkan sembahyang dua rakaat pada waktu pagi dan petang.

2. Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi telah mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman lalu bersabda kepadanya yang bererti :

Serulah mereka kepada pengakuan bahawa tiada Tuhan (yang wajib disembah) melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah Muhammad Utusan ALLah. Sekiranya mereka mentaati perkara tersebut, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa ALLah telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang limwa waktu sehari semalam.


Mengapa kita perlu bersolat? Agaknya ada juga orang yang bertanyakan kelebihan bersolat. Berbeza sungguh dengan generasi sahabat dahulu, mereka dengar dan taat tanpa banyak cakap. Diri kita pula, sebelum mengerjakan ibadah kita lebih menumpukan apa yang kita dapat, apa ganjaran yang diterima. Sedangkan ALLah tidak pernah pula meminta kita apa-apa sebagai balasan dengan nikmat yang banyak telah Dia berikan. Dia hanya menyuruh kita menyembah Dia.

Seorang sahabat bertanya kepada RasuluLLah s.a.w, apakah amalan yang paling afdhal? Jawab RasuluLlah s.a.w : Sembahyang, Dia bertanya lagi Kemudian apa? Baginda menjawab : Sembahyang. Dia bertanya lagi : Kemudian apa? Baginda menjawab : Sembahyang (Riwayat Ibnu Hibban)

Apa kelebihan solat?

Dari riwayat Bukhari (505) meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda yang bererti : ALLah akan menghapuskan dosa-dosa dengan menunaikan sembahyang lima waktu.

Dan hadith riwayat Muslim (231) meriwayatkan daripada Othman r.a bahawa RasuluLLah s.a.w telah bersabda : "Barangsiapa yang menyempurnakan wudhuk sebagaimana yang diperintahkan ALlah, maka sembahyang limwa waktu yang diwajibkan itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan antara waktu-waktu sembahyang tersebut".

Kita dibezakan sembahyang (dalam bahasa arabnya adalah solat) dengan agama-agama yang tidak diakui ALlah. Kita ada disiplin waktu untuk bertemu dengan ALlah. Apatah lagi sebagai hamba ALlah yang kerdil. Perkara yang pertama akan ditanya di hari perhitungan adalah SOLAT.

Sahabat, beritahulah kepada mereka bahawa solat itu wajib (bagi yang telah memenuhi syarat sebagai mukallaf).

RasuluLLah telah bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (668) daripada Jabir bin AbduLlah r.a dia berkata yang bererti :RasuluLLah telah bersabda :

Sembahyang lima waktu seumpama sungai yang mengalir dengan air yang begitu banyak di pintu rumah seseorang kamu. Setiap hari dia mandi sebanyak lima kali. Jabir menceritakan, al Hasan telah berkata : "Dan yang demikian itu tidaklah meninggalkan kotoran sedikitpun".

Sumber Rujukan : Kitab Fikah Mazhab Syafi'e - Bersuci dan Sembahyang oleh Dr Mustofa al Khin, Dr Mustofa al Bugho dan Ali Asy Syarbaji. Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd

Tiada ulasan: