Sabtu, 27 Oktober 2007

Masa Dulu-dulu

Seketika berbual dengan rakan-rakan sejawatan mengenai kisah dahulu. Aku teringat juga perkara ini selepas membaca buku bertajuk JURING - karya rakan-rakan blog antaranya attoch.

Masa kecil dahulu, kami bukanlah orang yang senang untuk meminta itu dan ini lalu pasti dapat di tangan. Kami perlu berusaha untuk mendapatkannya. Hatta sehinggalah kepada permainan.

Aku teringat semasa kecil abangku dengan duit yang dikumpulnya, dia telah membeli coklat TAM TAM sebungkus besar, dan di situ terdapat satu 'list sticker' yang perlu diisikan sehingga penuh dan apabila ada cop maka boleh menebus permainan di kilang yang mengeluarkan coklat tersebut. Masa itu barang permainan berjenama MASK - RHINO, SKYHAWK, kami berjaya mendapatkannya. (Permainan tersebut dah rosak di telan masa).

Ibu dan bapa kami bukanlah senang untuk mengadakan apa sahaja permintaan anak-anaknya, mungkin di situlah hikmahnya kami kreatif mencipta permainan sendiri dengan akal yang diberi ALlah.

Polis Sentri, Main Sembunyi-sembunyi, Buluh panjang, Baling Selipar, Rhondes, Gasing, membuat layang-layang sendiri dan diterbangkan di padang dan pelbagai lagi adalah permainan masa lapang semasa bersama kawan-kawan. Adakalanya tin diisikan dengan air untuk main masak-masak dengan dinyalakan api di bawahnya. Adakalanya juga kami mencabut pokok ubi yang telah matang untuk diambil ubi di dalam tanah kemudian dibakar untuk disantap beramai-ramai.

Bila masa hujan, cepat-cepatlah kami membuat sampan dari kertas untuk dilayarkan di hadapan rumah sambil bertanding siapa yang paling laju. Adikku seorang yang rajin mereka permainan, digunting kotak ubat nyamuk menjadi empat segi dan dilipat untuk dibuat 'pemain bola' dan bola yang dibuat dari kapur (setelah dikikis hingga menjadi bulat)atau kertas tembaga dari rokok. Kemudian permainan bola dimulakan dengan dijentik ditengah-tengah 'pemain bola'.


Di sekolah ada permainan baru, ada kawan-kawan yang kreatif telah mengambil kulit duku yang tebal, kendian dibuat tembak-tembak dengan menggunakan batang pen yang kosong disentalkan dengan batang lidi. Berbintat-bintatlah kulit jika terkena tembakan. Ada juga yang lebih 'advance' mengambil 'biji buah gatal' untuk digeselkan ke kulit. Perghhhh!! gatal oooo siapa yang kena...

Pabila petang, jika ada musimnya kami akan membuat kapal terbang dari kertas, ada yang berbentuk roket, ada yang panjang, pendek, berputar-putar bila ditiup angin.

Lalu gegak gempita sebentar dengan hilaian tawa kami mengenangkan kisah dahulu. Dan secara spontan seorang rakan berkata "kanak-kanak sekarang tidak kreatif, tidak pandai bergaul pula dengan rakan-rakan sejiran. Hanya duduk di hadapan TV sambil bermain PS2 hanya menunggu games yang terbaru dari rekaan orang lain".

Lalu aku ingin bertanya, dimanakah peranan kita sekarang untuk menjadikan anak-anak menjadi kreatif?

2 ulasan:

Widad Hajar berkata...

alhmadulillah gembira baca entri nie..teringat masa zaman kanak-kanak..lebih kurang gitu jugak..:)..

pernah terbaca didalam satu artikel dimana satu tadika ingin menggalakkan anak-anak menjadi kreatif dengan mempelbagaikan pengunaan tangan ,contoh :membuat kapal kertas..mungkin itulah sebabnya anak-anak dulu lebih kreatif..wallahuallam..tak anak lagi..:)

ibnunafis berkata...

:) gamaknya begitulah yang berlaku pada anak-anak zaman kini... Dah jadi ibu dan ayah nanti pandai-pandailah mencorakkan anak-anak menjadi kreatif yang islamik :)