Khamis, 8 November 2007

Abu Hanifah An Nu'man


Orangnya kacak, tampan, berbudi bahasa dan manis tutur kata. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas, segak dan harum semerbak. Daripada harumannya orang ramai boleh menyedari kehadirannya walaupun tanpa melihatnya.

Itulah Al Nu'man bin Thabit bin al Marzuban atau nama panggilannya, Abu Hanifah. Orang pertama yang menonjolkan fikah Islam dan orang pertama yang memperlihatkan kehebatan fikah ini.

Beliau berkesempatan untuk hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau hidup, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi mereka yang berkebolehan hingga mereka ini hidup dalam keadaan mewah dan rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa dicari-cari.

Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Dia berazam untuk bergantung hanya pada hasil tangannya sendiri. Dia mahu tangannya sentiasa di atas.

Antara satu daripada kisahnya : Hafs Bin Abdul Rahman adalah rakan kongsi Abu Hanifah dalam beberapa urusan perniagaan. Abu Hanifah akan menyiapkan barangan yang diperbuat daripada bulu dan menyerahkannya kepada Hafs bin Abdul Rahman untuk dijual di beberapa kota Iraq.

Suatu hari Abu Hanifah berjaya menyiapkan sejumlah besar baju untuk dijual. Walau bagaimanapun beliau tidak lupa untuk memberitahu Hafs bin Abdul Rahman tentang kecacatan yang ada pada beberapa helai baju tersebut. Abu Hanifah berpesan kepada Hafs "Jika engkau ingin menjual baju ini, beritahulah pembelinya tentang kecacatan yang ada."

Hafs berjaya menjual kesemua baju-baju tersebut tetapi dia terlupa memberitahu pembeli tentang kecacatan yang ada pada baju-baju tersebut. Puas dia cuba mengingat orang-orang yang membeli baju yang cacat, tetapi tidak berjaya.

Apabila Abu Hanifah mengetahui perkara itu dan dia tidak berjaya menemui orang-orang yang tertipu itu, beliau merasa tidak senang hati. Akhirnya beliau memberikan kesemua hasil jualan tersebut sebagai sedekah.

..........................................................................................................................................................................

Selain itu, Abu Hanifah juga adalah seorang yang sentiasa berpuasa, bersembahyang malam dan mendampingi al Quran. Salah satu sebab beliau memperbanyakkan ibadatnya ialah pada suatu hari beliau terserempak dengan beberapa orang yang sedang berbual. Beliau terdengar mereka berkata ;"Orang yang kamu lihat ini tidak tidur sepanjang malam."

Apabila mendengar sahaja kata-kata mereka itu, terdetik dihatinya :"Di hadapan mereka saya sebenarnya berbeza sama sekali dengan saya di hadapan ALlah. Demi ALlah, semenjak hari ini mereka tidak akan katakan lagi apa yang saya tidak lakukan. Saya tidak akan tidur lagi pada waktu malam sehinggalah saya bertemu dengan ALlah."

Semenjak hari itu, beliau mendirikan sembahyang sepanjang malam. Setiap kali malam berlabuh menutup tirai dan semua manusia berdengkur, beliau akan bangun dengan berpakaian kemas, menyikat janggutnya, memakai haruman dan berhias. Beliau akan berdiri di mihrabnya menghabiskan masa malamnya dengan bersembahyang atau membaca al Quran atau bermunajat kepada Tuhan.

Kadangkala beliau membaca seluruh al Quran dalam satu rakaat dan ada kalanya beliau menghabiskan sepanjang malamnya dengan hanya satu ayat.

Pernah diceritakan bahawa suatu malam beliau menghabiskan masa malamnya membaca berulangkalu firman ALLah Azza wa Jalla :

"(Bukan kekalahan itu sahaja), bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya). Dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit." (Maksud Al Qamar:46)

Dia menangis teresak-esak kerana takutkan ALlah. Suaranya mendayu-dayu sungguh menyayat hati.

2 ulasan:

Iman Nur berkata...

Assalamualaikum, saya minta kebenaran copy paste apa2 dari blog saudara ye..untuk bacaan sendiri saja..saya tunggu jawapan baru berani ambil..

ibnunafis berkata...

Wa'alaikumussalam wbth, silakan dan sertakan sekali rujukannya kepada blog ini ya. :)