Khamis, 1 November 2007

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 2

Orang dulu beradat, sopan santunnya dijaga, dihias hemahnya dalam tutur kata, dalam kelakuan dan pergaulan. Ketika berjalan atau berjumpa dengan kenalan diberikan salam, disapa dengan baik dan halus budi bicaranya. Diberi barang tahu ia berteima kasih, tahu ia menanggung budi dan membalasnya. Tidak dibenarkan tetamu balik dengan tangan kosong, tahu-tahu ada sahaja bekalan untuk dibawa pulang. Kedatangan tetamu disambut dengan senyum walaupun tidak diundang.

Orang lelakinya tahu membawa diri, tahu berdikari, biar tidak tahu mengira, tidak tahu menulis, tetapi lapangan hidupnya luas, akalnya berjalan bukan beku dan mati. Tidaklah mereka mengharap ehsan dan sedekah padahal kudratnya masih gagah dan umur masih muda. Ilmu agamanya teguh. Malu bila dikata orang tidak pandai membaca al Quran, tidak pandai melaungkan azan atau sekadar duduk-duduk di rumah berehat menghabiskan beras petas sahaja sedangkan yang mencari rezeki adalah ibu ayahnya yang sudah lanjut usia.
Orang lelaki bagi mereka adalah pelindung kepada yang lemah, disumbangkan tenaga dan keringat untuk menolong dan membantu orang. Dikerah ke sawah untuk membajak, diajak ke laut menjala ikan, berpagi-pagi menoreh getah atau menyawit atau ke hutan mencari rotan manau, nipah, gaharu dan cendana Sebab itu badan mereka tegap-tegap, sihat dan bidang. Jarang terdengar ada yang mati kerana berpenyakit, biasanya mati kerana sudah uzur sakit tua, paling kurang matinya kerana ke luar mencari rezeki untuk keluarga.

Waktu itu, tiada lagi orang bercakap seorang diri di tepi jalan (tiada lagi telefon tangan) kecuali orang yang hilang akalnya, perkumpulan mereka biasanya dengan berzanji, bermarhaban, pergi ke surau berjemaah, kenduri kendara terutamanya yang melibatkan urusan perkahwinan, kematian, hari lebaran dan sebagainya. Bukan apa, maklum sahaja, di zaman itu persaudaraanlah yang amat penting untuk mengukuhkan perpaduan, tidak perlulah rumah berpagar, yang menjadi kera sumbang hanyalah orang yang mementingkan diri, tidak bercampur dengan orang sekeliling. Yang jenis ini biasanya merekalah yang memulaukan diri sendiri. Tapi yang peliknya bila berlaku kesusahan, pada orang kampung jualah disuakan masalahnya itu , padahal pada masa senangnya bukan main sombong tidak bertegur sapa, dibuat halnya sendiri atas alasan ’tidak suka menjaga tepi kain orang’.

”Nenek dulu ramai jiran dan kawan-kawan, di sebelah rumah ada Cik Eton, Pak Rahmat duduk selang dua baris dari depan rumah, yang duduk berdekatan dengan pokok tembusu tuh si Bani, anaknya ada 2 iaitu Karim dan Senah, pendek kata tak menang mulut nak menjawab salam masa bertemu sebab semua orang kenal, bukankah dengan ucapan salam itu maka kasih sayang akan terjalin?..” kata perempuan tua itu dengan ceria.

3 ulasan:

Yan Norayhunt berkata...

Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Cerpen yang baik. Saya teringat pada arwah nenek bila membaca cerpen ini, kerana punya iras-iras jalan ceritanya. Mungkin kerana arwah jua seorang perempuan tua.
Semoga rohnya tenang di sana.

Admin berkata...

Wa'alaikumussalam wbth,

Semoga ALLah merahmati ruhnya, diletakkan di kalangan orang-orang yang solehah.

Al Fatihah..

Syifa Ijtihad berkata...

Indah tinta ilham ini