Orang Kita
Bila hati sudah gila kepada pangkat dan nama , tentu budi mereka berani gadaikan , maruah sendiri ditelanjangkan. Bila sudah berpangkat , kuasa digenggaman.Maka orang bawahan diinjak-injakkan sebab niat bukan kerana Allah tetapi kerana nafsu syaitan.
Orang kita itulah juga yang selalu merungut-rungut , membentak-bentak, menyesali taqdir, bila Allah turunkan sedikit ujian. Padahal ujian yang diberi amat kecil dibanding dengan nikmat yang dikecapi selama hidup di muka bumi. Bila sudah berkeadaan demikian, maka mulalah dia mencari salah orang lain. Itu tak kena , ini tak kena, tak terkecuali pencipta alam ini pun disalahkan juga. Maka berapa ramai antara kita yang ingin mencabar alam, dicipta benda itu dan ini. Kononnya untuk kemaslahatan umum. Sedangkan kerosakan yang dilakukan lebih besar dari kemudahan dan kebaikan.
Orang kita jugakkan, yang suka mereka-reka cerita bohong dan khabar-khabar angin. Yang sekecil kuman dibuat onar menjadi sebesar gajah. Lalu orang yang tak bersalah dipenjarakan, yang sepatutnya dihukum bebas berkeliaran. Manakala yang ingin menjadi baik diburuk-burukkan , dikata itu dan ini. Hingga orang yang nak menjadi manusia kembali menjadi seperti haiwan.
Orang kita juga , bila ilmu baru secebis di dada, lalu didebat-debatkan di hadapan umum. Tentunya orang umum itu tentunya adalah orang yang kurang berpelajaran. Tapi tak pernah digunakan ilmu itu untuk kemajuan , kemaslahatan ramai. Apatah lagi untuk agama sendiri. Tentunya Agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan