Tuk penghulu ketika itu berketurunan jawa kasar, tetapi sebenarnya pada bahasa sahaja kasarnya itu, perlantikannya hasil dari kesatuan hati seluruh penduduk kampung, bukan atas dasar kekayaan, rupa, atau pernah disogok wang atau disebabkan keturunan jawanya itu. Tetapi kerana akhlaknya, pengalaman hidupnya luas, pegangan agamanya teguh, ia dipercayai. Tidak pernah lagi ia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas orang kampung. Di mana sahaja ada kesulitan, pastinya dia yang pertama tiba untuk memberi bantuan. Bukan ia jenis orang yang bermulut manis atau berkuku besi, sebab diterima juga kritikan orang walaupun telinga panas mendengar atas tohmahan yang tidak benar. Ketika itu bukan ijazah menjadi ukuran, sebab ilmu itu bukan di atas kertas untuk diiktiraf, tetapi melalui ’apa yang dicakap dibuat dan apa yang dipelajari diamal’. Tidak hairanlah ia menjadi tempat rujukan bukan sahaja kerana ia seorang pemimpin masyarakat, tetapi juga sebagai seorang ilmuwan agama.
Tak perlulah diceritakan di mana ia belajar, sebab yang dipegangnya al Quran dan Al Sunnah juga serta ijtihad dari ulama yang muktabar. Tidak pula ia mahu sewenang-wenangnya membid’ahkan orang lain dengan perkataan sesat. Kerana fikirnya bukan untuk hari ini sahaja, tetapi juga hari mendatang, jika hanya kerana perkara cabang diperdebatkan untuk menyesatkan orang, tentu habis sudah orang Islam berpecah belah, tentu musuh-musuh Allah senang pula menjengah dan mudah pula kerja mereka untuk menghancurkan Islam, siapa pula yang akan bertanggungjawab untuk menjawab persoalan ini di hadapan Allah nanti?
Seketika perempuan tua itu berhenti sebentar dari berkata-kata, nafasnya ditarik dalam-dalam. Entah mengapa terbit air di kolam matanya, perlahan-lahan air matanya itu diseka dengan hujung lengan bajunya. Lantas cucunya bertanya, ”Mengapa nenek menangis?”. Lalu dia menyambung lagi ceritanya yang terputus sebentar tadi ”ahhh cucuku, itu kisah lama yang berlalu, ramai yang sudah tiada lagi, ada yang sudah berhijrah, dah bercucu cicit seperti diriku, dan yang kamu lihat di hadapanmu ini adalah tubuh tua yang menunggu-nunggu ajal dari Tuhan.
Dulu wajahku masih cantik dan segar bugar, walaupun hari mudaku banyak diisi dengan perkara yang bermanfaat dan bahagia selalu, tetapi tidak semuanya dapat dikongsi dengan orang lain. Walaupun didikan agamaku tinggi tetapi tidak dapat juga mengubah hati yang keras bahkan iman itu tidak dapat diperturunkan kepada siapa-siapa. Aku ingin meninggalkan dunia ini dengan tenang dan aman bersama iman di hati, aku ingin berkumpul dengan sanak saudaraku yang lain di akhirat nanti. Adakah cita-citaku akan dimakbul Tuhan?
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
-
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ? Soalan:Ketika sedang
sujud adakah kedua kaki direnggangkan atau dirapatkan. Mana satu cara yang
betul?Ja...
9 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan