Isnin, 19 November 2007

Ayah dan Ibu, Hukuman Adalah Didikan Bukan Kerana Benci.


"Awak kenapa pukul anak saya? Saya tak pernah sikitpun jentik anak saya, awak dah pandai-pandai pukul anak saya!", kata seorang bapa kepada seorang guru.

Mentang-mentanglah berpangkat tinggi, ada kedudukan di mata masyarakat. Yang bertaraf pensyarah pun tidak kurang juga yang mengherdik guru-guru hanya kerana anak mereka dirotan, dicubit kerana kesalahan disiplin mereka. Tidak cukup dengan itu, dihubungi terus jabatan pendidikan negeri, atau melaporkan kepada polis kerana anak mereka dirotan.

Sebenarnya dah lama berasa pelik dan jelak dengan sikap ibu bapa yang seperti ini, terlalu memanjakan anak. Bagiku, walaupun kasih sayang itu wajib diberi, tetapi ada batasannya sehingga jangan sampai anak tersebut memijak kepala orang lain apatah lagi yang mengajar mereka.

Setahuku, zaman dahulu orang Melayu amat menghormati institusi pendidikan terutama sekali profesion guru. Yang menggantikan ibu bapa di sekolah adalah para guru yang tidak kenal penat lelah. "Ambil rotan nih cikgu, pukullah anak saya, didiklah dia menjadi manusia, asal sahaja tidak patah riuk, tidak cedera," begitu yang dikatakan oleh orang-orang dahulu kepada para guru.

Zaman ini, bukan zaman seperti dahulu anak murid amat menghormati cikgu. Jika dilihat guru bersusah payah membawa barang berat, tahu dia merasai kepayahan gurunya untuk membantu. Zaman ini, anak murid bila dimarah guru kerana degil, dia akan menjawab dengan perkataan yang tidak pantas diucapkan. Bila ada sahaja tidak puas hati dengan tindakan guru yang menghukum pasti ada balasan yang dibuat sehabis sahaja waktu sekolah. Di zaman ini, bila guru sedang terbongkok-bongkok menyapu di dalam kelas, anak murid hanya mengangkat kaki sedikit agar sampah di bawah kakinya disapu oleh guru..

Ada satu pendapat, untuk mendidik anak murid zaman ini tidak boleh dirotan, hendaklah dengan menggunakan pendekatan psikologi. Maka aku berfikir, berapa ramai anak-anak yang menjadi manusia dengan pendekatan psikologi yang dikatakan sesuai ini? Berapa ramai anak-anak yang semakin berani mempermain-mainkan guru, sehingga ada guru yang tertekan dengan karenah anak murid. Ditambah dengan sikap segelintir ibu bapa yang kurang mengajar anak sehingga menjadikan anaknya kurang ajar.

Sekolah adalah bukan hanya tempat belajar sahaja, bahkan juga untuk mendidik akhlak, membentuk perilaku, agar apa yang dipelajari menjadi ilmu untuk dihayati sepanjang hidup.

"Didiklah anak kamu bersolat bila mereka berumur tujuh tahun dan rotanlah mereka jika tidak bersolat bila sudah berumur 10 tahun." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dll, sanadnya Hasan seperti dalam Misykatul Mosabih).

Cubalah renungkan maksud hadith di atas, mengapa ada suruhan dari RasuluLLah untuk merotan anak, adakah kerana benci? Melainkan ia bertujuan untuk mengajar, mendidik untuk melentur buluh yang masih rebung.

Lihatlah perlaksanaan hukuman di dalam Islam, ada sahaja hukuman berbentuk sebatan kepada golongan yang berzina dan minum arak. Ia tetaplah hukuman untuk mendidik bagi memberi kesedaran melalui kesakitan. Bagi orang Islam beriman - silalah menjawab persoalanku, di dalam neraka nanti, adakah ALlah akan memberikan pendekatan psikologi (kaunseling) kepada ahli neraka untuk membalas atas kesilapan dosa mereka?

Pendapatku, di dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar. Untuk menerima anak-anak murid yang semakin terdedah dengan pelbagai budaya hedonisme dan kemajuan, hukuman berbentuk rotan adalah relevan. Bahkan jika digabungkan dengan pendekatan psikologi (kaunseling) ia dapat memberikan kesan yang amat baik untuk memperbaiki akhlaq murid.

Guru mana yang tidak sayangkan anak muridnya, cuba beritahu..

Tiada ulasan: