Khamis, 1 November 2007

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 1

Dia seorang perempuan tua, punya kekayaan keturunan, ramai anak cucunya, cicit dan piut. Hartanya di dunia adalah anak-anaknya itulah yang dipertalikan dengan darah dan daging. Masa tuanya dihabiskan dengan menziarahi setiap rumah-rumah mereka. Sunyi katanya, siapa tahu selepas ini dia sudah tiada lagi, biar dapat berjumpa anak dan cucu semua. Terhibur dia melihat gelagat cucu cicitnya yang masih kecil, terkadang bibirnya tidak berhenti mengomel, membebel marahkan mereka jika apa yang dirasanya itu adalah bahaya dan tidak betul pada pandangannya.

Bahasa tuanya adalah bahasa di dalam jiwa, luahan perasaannya adalah apa yang dirasa dari perjalanan hidupnya yang panjang. Kamus hidupnya selalu dibuka, dicerita kesusahan hidup masa lampau, ketika zaman jepun menyerang untuk tatapan anak cucunya tanpa rasa bosan walaupun apa yang dikatanya itu sudah berulang kali perkatakan. Ketika itu makannya ubi kayu, nasinya berlauk garam, minumnya, pakaian semuanya alar kadar.

Yang dikata orang perempuan, bila sahaja tentera jepun menceroboh, kalutlah ibu bapa mencarikannya tempat untuk perlindungan. Orang dahulu cerdik, untuk menyelamatkan nyawa anak-anak dara, dilumur arang ke muka mereka, supaya jadi hodoh dan buruk. Lalu dibawa lari jauh-jauh ke dalam hutan, tinggallah di sana seminggu dua sehingga semuanya aman seperti sediakala.

Di hati mereka ketika itu hanya ada Tuhan. Bukan mereka itu pengecut atau takut mati, ada daya mereka akan berusaha apa sahaja untuk mempertahankan maruah dan kehormatan keluarga, walaupun harta tergadai, walau jiwa melayang. Prinsip hidup mereka, Islam itu dijunjung, kehormatan itu dijaga. Jangan diinjak, diperlekehkan perkataan Islam di hadapan mereka, alamat berparanglah. Apa benarkah hati mereka tega melihat anak-anak gadis mereka dirogol di depan mata mereka? Anak perempuan mereka benar-benar dijaga umpama emas yang disimpan rapi di dalam bekasnya. Jika tidak takkan rasa malu dan tebal muka ibu ayah jika anak sudah pandai berbual dengan orang lelaki yang tidak dikenali, berbalas surat dan berjumpa berdua-duaan sehingga menjadi perbualan penduduk kampung. Tentu habis butir kemarahan disembur dan tali pinggang atau rotan ditarik, di sebat berkali2 ke tubuh anaknya. Bukan ia benci atau ingin membunuh, tetapi atas nama kehormatan itu jugalah, kerana rasa malu yang perlu dijaga, kerana sayang pada anaknya, tidak mahu anaknya jadi perempuan murahan. Setiap sebatan dijadikan ingatan untuk menjaga nama baik agama dan keluarga.

4 ulasan:

Iman Nur berkata...

Assalamualaikum, cerpen ni buat sendiri ke? saya copy paste boleh?

ibnunafis berkata...

Wa'alaikumussalam wbth, ya cerpen ini saya tulis. Jika membuat copy paste sila nyatakan rujukan atas blog saya. Terima kasih :)

iman nur berkata...

ok, jangan risau. terima kasih juga. nak tanya takpe kan. berapa lama ambil masa siapkan cerpen ni? saya tanya sebab bukan semua orang boleh buat cerpen. macam saya, pernah cuba2 buat tapi selalu tak dapat nak habiskan dan tak siap.

ibnunafis berkata...

nak siapkan? ermm.. ada dalam sebulan lebih. Saya akan membuat cerpen ini secara beransur-ansur(ada kala buat artikel lain terlebih dahulu). Apabila banyak ide yang ALlah beri, maka lebih mudah saya menyiapkannya.