Rabu, 14 November 2007

Bersyukur Jangan Kufur..


Belajarlah bersyukur, ada manusia yang tidak belajar syukur lalu ia selalu mengeluh dengan apa yang telah diberikan ALlah.

Surah Ibrahim ayat : 7, ALlah telah berfirman yang bermaksud :

Demi, sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur engkar, sesungguhnya azabKu amatlah pedih.

Belajarlah bersyukur sahabat, terkadang dari segenggam nasi yang kita juihkan kerana tiada lauk yang menyelerakan, ada orang lain yang amat memerlukan makanan yang tidak sedap bagi kita itu. Dan anak-anak pula ketika memerhatikan, lalu mereka juga akan berkata "tak seleralah nak makan harini, lauk tak best". Sedangkan mereka tidak belajar susah payahnya untuk mendapatkan sebutir beras.

Kadang-kadang, dari pakaian yang kita bising-bisingkan kerana ia tidak lawa, dibuangkan sahaja ke dalam tong sampah. Duit satu atau lima sen yang dijumpai kita sepak-sepakkan. Mentang-mentanglah nilainya amat rendah ketika ini.

Kita sibuk memandang kepunyaan orang lain, itu yang dikehendaki, itu yang diingini.

Lihatlah di kiri kanan, orang yang hidupnya melarat, yang kematian keluarga, yang hilang pancaindera. Entah berapa kali apabila mendapat kejayaan, mendapat ketenangan kita mengucapkan syukur. Tuhan... Aku bersyukur pada hari ini, Engkau sudi memberi rezeki.. Tuhan terima kasih memberiku peringatan, hari ini aku kesandung, aku susah adalah kerana kasih sayangMu jua untuk aku selalu selidik tentang kesilapan diri.

Kita juga yang mengajar anak-anak, adik-adik, isteri dengan kemewahan. Mungkinlah agar mereka tidak merasa susah seperti kita. Lalu ada juga kesan buruknya. Bila sudah terbiasa dengan sesuatu, maka itulah juga yang akan diungkit-ungkit apabila menghadapi kesukaran. Jadilah mereka manusia yang jarang hendak berusaha. Hanya tahu menerima tidak tahu memberi..

Belajarlah bersyukur, jangan jadi kufur... entah berapa ramai juga yang sudah diberi kemewahan lupa memandang ke bawah. Mungkin akibat gah maka ia selalu mendongak ke langit. Sedangkan di setiap kemewahan ada haknya untuk orang yang susah, janda-janda yang kehilangan suami, pelajar-pelajar yang kesempitan wang, terpaksa mengikat perutnya untuk belajar. Juga untuk anak yatim, orang yang miskin di dalam kesakitan tiada pula duit untuk mendapatkan rawatan.

Hadith dari rasuluLLah yang bermaksud : " Sesungguhnya ALlah redha kepada hambaNya yang apabila makan ia mengucapkan syukur ke atasNya dan apabila minum ia mengucapkan syukur kepadaNya." (Riwayat Muslim)

Tunggulah, bila nikmat mula ditarik balik, bila lidah hilang lazatnya, mata hilang kecantikan pandangan. Bila harta mula hilang dan tiba-tiba kita terduduk bila kejatuhan bertimpa-timpa. Dan orang kiri kanan mula menjauh.... Mungkin kita akan teringat kembali apa yang sudah kita syukurkan selama ini......

Tiada ulasan: