Sabtu, 17 November 2007

Masa dan Alam



Masa kian berlalu dari tempatnya, hari beralih, usia berubah, penduduk dunia semakin bertambah, yang meninggalkan dunia tidak pula kurangnya. Alam ini sudah tua, sudah penuh sendat diisi dengan segala jenis manusia. Ia menerima segala bentuk makhluk tidak kira binatang, jin dan syaitan. Pelbagai jenis ragam sifat umat, tidak kira yang Mu’min, Muslim, munafiq, zindiq kafir dan fasiq. Semuanya menjalankan aktivitinya, mencari rezekinya masing-masing, dengan cara masing-masing yang halal dan haramnya, dengan syubhah dan riba’nya. Semuanya tidak lepas dari pandangan Tuhan, tidak lepas dari pengetahuanNya hatta sehelai daun malahan zarah sekalipun. Tidak lupa juga di tulis, disemak oleh para penjaga yang ditugaskan seawal manusia dijadikan ke muka bumi. Selembar demi selembar, lapisan demi lapisan, dosa dan pahala. Masa yang kian berlalu tidak memandang pula ke belakang.

Alam ini sudah tua…menanggung beban pencemaran udara, air, sisa toksik yang dilahirkan sendiri oleh tangan-tangan manusia. Ia sudah uzur ditebuk, digali dan diroboh. Di atasnya berdiri pula pembangunan kemudian dimusnahkan pula dengan peperangan. Alam ini sudah sering pula bergegar, merekah, mengeluarkan air bah (adakah ia menangis ?) kerana dimurkai oleh Allah dengan sebab manusia juga yang tidak penat-penat membuat segala sengketa, maksiat dan dosa tidak kira siang dan malam, pagi dan petang, hujan atau terik, panas atau dingin.

Alam yang Allah jadikan ini bukan muda lagi sejak menerima tetamu dari golongan Adam dan Hawa, sejak menerima pembunuhan pertama manusia oleh qabil, kedatangan Islam, kegemilangan Islam, kejatuhan kerajaan Islam dan peperangan antara sesama saudara seIslam. Semuanya telah dilalui dan dirasai oleh alam yang semakin senja ini.

Masa pula, ia semakin bertambah kencang rasanya, mundurnya tidak pernah, tetapi majunya tidak disedari oleh kebanyakan manusia. Apatah lagi yang lalai dan selalu lupa dengan keadaan dan kedudukan. Sedikit benar yang beringat, tetapi semakin ramai pula yang culas.

Manusia telah diperingatkan di dalam al Quran tetang peri pentingnya masa untuk diguna sebaik-baiknya, telah di nasihatkan oleh Nabi dengan sabdanya. Telah selalu dikhabar-khabarkan di dalam media massa, tidak kira di televisyen, majalah, radio dan sebagainya. Dicerita-ceritakan oleh para guru, pensyarah, penceramah kepada pelajar, murid-murid, ibu bapa dan manusia amnya. Dinyanyikan pula oleh kumpulan nasyid yang ingin menyebarkan dakwah di bumi Tuhan ini. Tetapi berapa ramai yang mengambil peduli hal tentang masa ? Bukankah manusia itu semakin tua tidak selamanya muda, yang hidup akan mati, yang hijau akan layu, yang cantik akan menjadi hodoh dan malaikat tetap setia menjalankan tugasnya, mencatat dan terus mencatat segala amalan kebaikan dan keburukan kita ?.

Masa yang kita lalui, setiap detik dan saatnya semakin pendek, alam ini semakin hampir dengan ajalnya. Ia menunggu-nunggu saat kehancuran, menunggu-nunggu hari yang dijanjikan oleh Tuhan dimana manusia akan dihimpunkan, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit. Mereka dicampur-baurkan lelaki dan perempuan, tua dan muda, kaya dan miskin di tambah pula dengan lautan nanah, peluh dan darah. Dan mereka menunggu lagi masa setiap diri dihitung amal kebajikan, timbangan dosa dan pahala. Adakah lulus atau gagalnya dalam peperiksaan yang terpenting ini. Benarlah kata Rasulullah, sekiranya manusia tahu apa yang baginda ketahui, tentu manusia akan lebih banyak menangis dari ketawa dan berterus-terusan beramal ibadah. Sedarkah manusia tentang hal ini ? berapa ramai pula antara kita yang mengingatkan diri sendiri, mengingatkan adik, abang, kakak, ayah, ibu, rakan-rakan, dan mereka yang kita sendiri tahu. Atau sekadar membaca surah al Asr (kalau terbaca) tapi sekadar di lisan sahaja tapi tidak sampai di hati apatah lagi di amalkan dengan perbuatan. Masa semakin pantas bergerak, alam ini semakin tua umurnya…sedarlah, bila lagi ?.

Anak_Pejuang

14 Sya’ban 1422 hijrah

12.45 petang.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.